Taktik lapuk buang bubu naga, sorok bawah kanvas

Iklan
Ops Hurricane Bersepadu di Kuala Selangor dan Sabak Bernam bertindak merampas bubu naga, pada Rabu.

SHAH ALAM - Pemilik mahupun pengusaha bubu naga yang aktif di sekitar Kuala Selangor dan Sabak Bernam dikesan membuang peralatan menangkap ikan itu ke dalam sungai selain terus menyembunyikannya di timbunan kanvas selepas menghidu kehadiran pihak berkuasa, pada Rabu.

Namun, helah itu berjaya dikesan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Selangor dengan tindakan rampasan menerusi Ops Hurricane Bersepadu.

Iklan
Iklan

Pengarah DOF Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, operasi dijalankan dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor dan Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang.

Noraisyah

Menurutnya, operasi itu telah membuat sitaan 800 bubu naga bernilai RM40,000 di jeti yang disyaki mengusahakan peralatan terlarang itu.

Iklan

"Lokasi operasi tertumpu di Kuala Selangor dan Sabak Bernam iaitu di Bagan Tengkorak, Bagan Sungai Besar dan Bagan Sekinchan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Ops Hurricane Bersepadu di Kuala Selangor dan Sabak Bernam bertindak merampas bubu naga, pada Rabu.

Beliau berkata, secara keseluruhan, operasi terbabit berjaya mengurangkan penggunaan bubu naga di Selangor.

Iklan

Katanya, hasil rondaan yang kerap juga mendapati kebanyakan pengusaha haram ini telah memberhentikan aktiviti akibat operasi yang kerap dijalankan penguat kuasa tidak kira dari DOF, Maritim Malaysia atau PPM.

"Ada antara mereka ini dikesan sorok bubu naga dengan tutup guna kanvas, simpan dalam stor dan segera buang bubu naga dalam air selepas kesan kehadiran pihak berkuasa," ujarnya.

Dalam pada itu, jelas Noraisyah, bubu naga kini diwartakan secara rasmi sebagai peralatan menangkap ikan yang dilarang melalui pewartaan Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) (Pindaan) 2024 berkuatkuasa 30hb April 2024.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!