Haji: Perjalanan rohani seorang hamba

Iklan
HAJI merupakan kembara rohani yang mengubah manusia menjadi hamba ALLAH lebih baik. -Foto: Canva

Ulama umpamakan ibadah itu seperti penutup, rumusan hidup

HAJI merupakan ibadah yang begitu istimewa. Barangkali kerana ia disyariatkan untuk mereka yang berkemampuan. Sudah pasti ia menuntut iltizam yang begitu tinggi untuk ditunaikan kerana banyak perkara perlu dikorbankan.

Apabila berjaya dilaksanakan, terasa seakan kita mampu untuk melengkapkan keseluruhan lima Rukun Islam yang menjadi ‘tiang’ kepada umat Islam.

Iklan
Iklan

Dari satu sudut, ibadah haji itu sendiri memberi pengaruh besar kepada pelakunya hinggakan terdidik jiwa daripada ‘sihir’ dunia yang begitu mengasyikkan.

Ketika menjadi tetamu ALLAH SWT sepanjang perjalanan haji, boleh dikatakan semua yang kita miliki ditinggalkan begitu sahaja. Bukan hanya keluarga dan harta, tetapi juga pangkat dan jawatan yang ada.

Iklan

Sempena Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut Isnin ini, Sinar Islam Plus mengajak semua untuk menyelami ibrah (pengajaran) di sebalik pensyariatan ibadah haji yang mula diwajibkan pada tahun ke-6 Hijrah menurut jumhur ulama.

Elak bertangguh

Iklan

Pendakwah Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud menjelaskan, menerusi ayat ke-97 Surah Ali Imran, ALLAH SWT memerintahkan umat Islam untuk ke Baitullah bagi sesiapa yang berkemampuan menunaikan ibadah haji.

USTAZ MOHAMAD ZARIFI

"Berpandukan ayat itu, para ulama menyatakan haji diwajibkan kepada kita sekali seumur hidup, manakala selebihnya pula hanyalah sunat,” katanya ketika menjadi panel dalam program Podcast POV Sinar Islam Plus, baru-baru ini.

Beliau kemudian menghuraikan maksud sebenar kemampuan atau istito’ah menurut kriteria ditetapkan oleh para ulama.

Pertama, seseorang itu mestilah mempunyai kemampuan dari sudut kewangan sama ada untuk keperluan dirinya sepanjang berada di Makkah dan keluarga yang ditinggalkannya.

Kedua, sihat tubuh badan dan ketiga, selamat daripada fitnah, rusuhan atau peperangan serta tempat dikunjungi untuk menunaikan haji juga adalah aman.

"Termasuk juga dalam kemampuan itu adalah tibanya giliran ‘naik’ haji. Jika keempat-empat elemen ini sudah lengkap, para ulama mengatakan lebih afdal untuk kita pergi menunaikan Rukun Islam kelima.

"Ini kerana dibimbangi jika kita bertangguh-tangguh, kita pula sudah kembali ke rahmatullah.

"Justeru, apabila telah cukup syarat tadi termasuk giliran tersebut, selesaikanlah haji kita supaya sempurna tanggungjawab kita kepada ALLAH dan memenuhi kelima-lima Rukun Islam,” ungkapnya.

RANGKUMAN dari kembara haji adalah untuk menyedarkan manusia bahawa kita ialah hamba ALLAH SWT walau sehebat mana pun kita di dunia. -Foto: Arab News

Bahkan jelas Mohamad Zarifi, terdapat ulama yang mengumpamakan ibadah haji seperti penutup atau rumusan hidup.

Mengulas lanjut, jelas beliau, rangkuman dari kembara ibadah tersebut sebenarnya adalah untuk ‘mengejutkan’ umat bahawa kita ialah hamba ALLAH SWT.

Memberikan contoh ketika berada di bumi Arafah ketika berwukuf, ujarnya, pada masa itu pelbagai jenis ragam manusia boleh dilihat.

Bayangkan semua orang menadah tangan bersungguh-sungguh berdoa kepada ALLAH SWT, meminta ampun kepada-NYA dan memohon supaya terus diberikan nikmat iman serta kebahagiaan di dunia dan akhirat, ungkapnya.

"Ketika berada di Tanah Suci, kita tinggalkan semua pangkat dan kedudukan yang ada. Barangkali kita di pejabat ialah seorang ketua pengarah dan sebagainya, tetapi dalam rehlah haji, apa yang kita sandang itu ALLAH tidak melihatnya.

"Sebaliknya, DIA hanya memandang kepada takwa,” terangnya panjang lebar.

Lantaran itu, penceramah terkemuka tersebut mengingatkan supaya mereka yang sudah mendaftar haji agar menimba ilmu tentang ibadah berkenaan dengan mengikuti kelas pengajian berkaitan.

Haji mabrur

Jelas beliau, peri pentingnya kita untuk mendapatkan haji yang mabrur kerana ALLAH SWT menjanjikan syurga buat kelompok tersebut.

Ia sebagaimana hadis direkodkan oleh Jabir bin Abdullah bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Haji mabrur tidak ada imbalan lain baginya kecuali syurga.” (Hadis Riwayat Ahmad)

"Inilah matlamat kita semua hendak masuk ke dalam syurga. Salah satu pintunya adalah dengan kita mengerjakan ibadah haji yang terbaik.

"Mudah-mudahan ALLAH SWT berikan haji yang mabrur kepada kita,” ungkapnya.

Bagaimana seseorang mahu memastikan selepas pulang menunaikan haji mendapat nilai-nilai positif dalam dirinya?

ANTARA tanda-tanda haji yang mabrur ialah seseorang berubah wataknya menjadi lebih baik, bercakap perkara elok, suka membantu orang, bersedekah, menjamu orang makan dan lain-lain. -Foto: 123rf

Jawab Mohamad Zarifi, apa pun pertama sekali, kita mesti niat ikhlas semata-mata kerana ALLAH kerana haji yang mabrur itu diberikan ganjaran syurga.

"Ingatlah, haji merupakan rehlah rohani yang mengubah kita menjadi insan lebih baik. Sekurang-kurangnya kita menjadi orang yang menjaga hubungan baik dengan ALLAH dan menjadikan hubungan sesama manusia menjadi lebih elok.

"Inilah matlamat haji kita supaya ia benar-benar memberi kesan dalam hidup masing-masing sebagaimana kata ulama,” tuturnya.