SHAH ALAM - Cubit paha kanan, paha kiri pun terasa.
Itu peribahasa paling tepat menggambarkan kelab Selangor FC (SFC) yang kini sedaya upaya mencurahkan segala ‘keringat’ mengikut kemampuan mereka untuk membantu ayam tambatan Muhammad Faisal Abdul Halim atau Faisal Halim yang menjadi mangsa simbahan asid, bulan lepas.
Ketua Perubatan Sukan SFC, Dr Muhammad Hazwan Khair berkata, pihaknya kini sedang memberi tumpuan kepada bahagian bahu dan siku pemain sayap Gergasi Merah itu dalam usaha mendapatkan functional movement untuk memastikan beliau menjalani kehidupan seharian tanpa sebarang batasan.
Beliau bagaimanapun memaklumkan, pihaknya bukan sahaja menumpukan aspek pemulihan fizikal malahan pemulihan emosi dan psikologi turut menjadi keutamaan mengikut garis masa keselesaan pemain yang mesra disapa Mickey itu.
"...Ikut keselesaan Mickey (dalam proses ini kerana) kita tahu apa yang membawa Mickey ke padang (jadi) kami hanya bantu untuk cepatkan proses.
"Sebab itu saya tidak meletakkan sebarang tempoh untuk Mickey kembali ke bola sepak (sebab) ia bukan sahaja keadaan fizikal tapi jugak emosi dan psikologi Mickey,” katanya semasa menghadiri sidang media Faisal Halim yang membuat kemunculan pertama di khalayak umum di Pusat Latihan SFC di sini, pada Khamis.
Dr Muhammad Hazwan berkata, pihaknya juga sudah merangka beberapa pelan bersesuaian selain membuat perbincangan dengan pegawai psikologi dan pakar psikiatri untuk menilai Faisal dari semasa ke semasa.
"... selepas pembedahan terakhir pergerakan agak terhad. Pergerakan terhad selepas pembedahan jadi kita terpaksa berikan perlindungan dan Mickey kata empat atau lima hari (lepas) baru boleh peluk anak sebab baru bukak balutan sepenuhnya.
"Apa yang nampak (sekarang) kesan kulit kering dan dia akan bersalin (tapi) benda (ini sudah) jangka terjadi dah mulakan rehabilitasi.
Pasukan fisioterapi SFC memang ada pergi ke tempat Mickey untuk buat fisioterapi (dan) kita memang ada program sendiri,” katanya.
Beliau turut memaklumkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diterajui Menterinya, Hannah Yeoh serta Institut Sukan Negara (ISN) telah menawarkan bantuan diperlukan sejak Mickey berada di ICU.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal SFC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, pihaknya akan memastikan keselamatan Faisal Halim terjamin dengan menyediakan pasukan marsyal selain masih menempatkan beliau di lokasi rahsia.
"Faisal adalah kekuatan saya sebab saya agak rapat dengannya, dan dia juga pemain kelab ini, jadi saya percaya sebagai majikan ini adalah perkara terbaik untuk dilakukan bagi memastikan Faisal Halim dan keluarga dijaga dengan baik,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan Faisal menjalani skin allograft atau tampalan kulit yang diimport dari Belgium bagi merawat lecur tahap empat dialami dengan anggaran nilai melebihi RM30,000.
Beliau membuat penampilan kali pertama di hadapan khalayak umum semalam kerana enggan berselindung dan ingin menjalani kehidupan normal seperti manusia biasa.
Pemain berusia 26 tahun kelahiran Pulau Pinang yang kehilangan kira-kira empat kilogram berat badan selepas kejadian berkenaan mengakui penglihatannya berada dalam keadaan baik namun memerlukan bantuan cermin mata ketika membaca.
Faisal Halim yang kali terakhir dihubungi pihak polis pada minggu pertama menjadi mangsa simbahan asid menyerahkan siasatan berkenaan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tanggungjawab mereka menyelesaikan kes berkenaan.
Pada 5 Mei lepas, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya dan terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari.
Seterusnya pada 25 Mei, Selangor FC menerusi kenyataan mengesahkan pemain sayapnya itu dibenarkan keluar dari sebuah hospital swasta di sini selepas menjalani empat pembedahan susulan insiden berkenaan. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!