TAIPING - Keluarga Allahyarham Zulkifli Yusuf, 37, tidak menyangka Allahyarham akan menghembuskan nafas terakhir ketika melakukan aktiviti paling digemarinya.
Adik Allahyarham, Zaid Yusuf, 34, berkata, arwah begitu meminati sukan lasak khususnya aktiviti pendakian sejak di bangku sekolah.
"Dia (arwah) memang suka mendaki, dia pernah mendaki dua puncak tertinggi daripada tujuh benua di dunia iaitu Aconcagua di Argentina (6,960 meter) dan Elbrus (5,642 meter) di Rusia.
"Gunung Everest pun dia pernah sampai walaupun bukan di puncak tertinggi, memang kami sekeluarga tahu sangat perangainya yang sukakan cabaran namun saya tak sangka dia pergi ketika melakukan aktiviti yang dia minat," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Tebok, dekat Trong hari ini.
Zaid berkata, kali terakhir beliau bertemu abangnya dua minggu sebelum kumpulan pendakian berlepas dari Kuala Lumpur ke Alaska, Amerika Syarikat pada 14 Mei lepas.
"Kami sekeluarga lima beradik berkumpul untuk uruskan berkaitan pusaka arwah ibu, itulah kali terakhir kami berkumpul.
Abang kami tak banyak bercakap tentang aktiviti lasak yang dia lakukan, mungkin tak nak kami bimbang dan kakak Zarina Yusof, 35, yang banyak tahu sebab dia diletakkan sebagai waris untuk dihubungi jika berlaku sebarang kes kecemasan," katanya.
Tambah Zaid, ketika menerima perkhabaran arwah abangnya tersangkut di puncak Gunung Denali, Alaska keluarganya hanya mampu berserah kepada ALLAH SWT dan mendoakan agar abangnya selamat turun.
"Arwah sempat menghantar isyarat kecemasan pintar kepada kakak kami yang memaklumkan beliau terkandas di puncak gunung dan pihak penyelamat tidak boleh mendarat di kawasan abang saya terkandas kerana cuaca buruk.
"Kami dapat perkhabaran pemergian abang sekitar 3 pagi waktu Malaysia dan kami semua amat terkejut namun reda dengan ketentuan Ilahi," katanya sambil menambah arwah amat disenangi oleh rakan-rakannya di universiti dan di tempat kerja.
"Ada wakil Universiti Malaysia Pahang (UMP) ketika menziarahi kami menunjukkan coretan terakhir arwah yang panjang lebar agar mendoakan keselamatan dan kesejahteraan pendaki yang mana jarang sekali beliau nukilan sepanjang itu," katanya.
Kelab Jelajah Alpine Malaysia pada 1 Jun lepas memaklumkan seorang daripada tiga pendaki rakyat Malaysia yang terkandas pada ketinggian 19,700 kaki di Gunung Denali di Alaska, AS, sejak 28 Mei ketika membuat pendakian di gunung tertinggi di Amerika Utara itu dilaporkan meninggal dunia.
Kelab berkenaan memaklumkan Zulkifli meninggal dunia pada 6 pagi, 29 Mei (waktu tempatan), semasa berlindung di gua salji yang dikenali sebagai 'Football field'.
Jenazah Allahyarham Zulkifli dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang 8.55 pagi esok melalui penerbangan Korean Airlines dari Los Angeles.
Jenazah kemudian akan dibawa ke Masjid Al Mahmudiah di Kampung Temelok, Trong, sebelum dikebumikan selepas solat Zohor. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!