KUANTAN - Dugaan buat sebuah keluarga dan pemilik bengkel di Kampung Bukit Rangin di sini menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha apabila rumah dan bengkel motosikal milik mereka musnah dalam kebakaran pada petang Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, Zubaidah Wan Ismail, 40, tidak dapat menyelamatkan semua barangan berharga miliknya susulan api marak dan kini mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang.
Dia yang bekerja sebagai tukang cuci bagaimanapun bersyukur kerana semua ahli keluarga terselamat selepas berdepan detik cemas dalam insiden tersebut.
"Masa itu (kejadian), saya tidak dapat berbuat apa-apa, hanya mampu lihat dan semuanya musnah di depan mata.
"Saya reda dengan ujian ini dan bernasib baik kerana belum beli barangan untuk persiapan raya. Kalau tidak semua barang yang dibeli turut hangus," katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian di Bukit Rangin pada petang Khamis.
Menceritakan kembali kejadian tersebut, ibu kepada empat anak itu memaklumkan bersama suami, Tajudin Nor, 43, dan dua anaknya sedang menjamu selera di ruang dapur rumahnya.
Jelasnya, secara tiba-tiba sepupunya yang berada tidak jauh dari rumah menjerit dan meminta mereka sekeluarga keluar segera.
"Bila keluar, saya lihat api (marak) dan membara dalam bengkel. Saya menjerit panggil anak dan suami segera keluar.
"Apabila mereka keluar, api terus merebak membakar rumah dengan begitu pantas. Alhamdulillah kami selamat dan tiada sebarang kecederaan dialami," katanya yang tidak dapat menganggarkan kerugian dialami setakat ini.
Zubaidah berkata, buat masa ini dia sekeluarga menumpang di rumah adik-beradiknya yang terletak berhampiran.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, seramai 24 anggota dan pegawai daripada Balai Bomba Penyelamat (BPP) Taman Tas dan Kuantan ke lokasi kejadian selepas menerima laporan kira-kira jam 6.07 petang.
Menurutnya, kebakaran itu melibatkan tiga rumah jenis separuh kekal dan sebuah bengkel.
"Kita membuat pemadaman dengan menggunakan dua aliran hos sepanjang 60 meter dengan dua pancutan dan satu aliran hos salur bantu mula air pam tangki jentera.
"Bantuan BBP Kuantan menggunakan dua aliran hos salur bantu mula air tangki pam jentera," katanya yang memaklumkan tiada sebarang kehilangan nyawa dilaporkan.
Hampir 30 motosikal pelanggan musnah
"Saya cuba padam api dengan simbah air dan guna getah paip namun ia tidak padam, malah makin marak," kata ibu kepada pemilik bengkel motosikal, Wan Natasha Wan Ismail.
Wanita yang berusia 43 tahun bersama adik iparnya bertindak memadamkan api di bengkel milik anaknya, Mohammad Zamri Ismail Abdullah, 24, di Kampung Bukit Rangin yang terbakar kira-kira jam 6 petang, Khamis.
Menurutnya, kebakaran itu diketahuinya selepas dimaklumkan sepupunya yang sedang menjual di sebuah gerai bersebelahan bengkel anaknya.
"Bila dapat tahu saya cuba padam, tapi api besar dan merebak cepat kerana bengkel ini 100 peratus kayu. Masa itu kami juga (boleh) terasa bahangnya.
"Jadi, saya minta mereka hubungi pihak bomba kerana api sudah tidak terkawal dan keadaan angin semakin kuat pada ketika itu," kepada Sinar Harian.
Wan Natasha yang bekerja sebagai tukang cuci memberitahu, hanya sempat menyelamatkan lima motosikal milik pelanggan dan sebuah kereta sahaja dalam kejadian itu.
Bagaimanapun katanya, hampir 30 motosikal di dalam bengkel tersebut tidak dapat diselamatkan kerana api marak.
"Benda (kejadian) berlaku begitu cepat, saya hanya sempat alih beberapa motosikal, selebihnya hanya mampu tengok ia terbakar," katanya.
Sementara itu, Mohammad Zamri Ismail, 24, mengakui terpaksa berlapang dada selepas mengalami kerugian hampir ratusan ribu ringgit susulan bengkelnya 100 peratus musnah.
Dia memaklumkan tidak berada di lokasi sewaktu kejadian kerana ke bandar untuk membeli alatan gantian bagi membaiki motosikal yang ditinggalkan pelanggan.
"Masa hendak keluar, saya sudah tutup semua suis kecuali plag untuk CCTV (kamera litar tertutup), tidak lama selepas itu, saya dihubungi ibu bahawa bengkal terbakar.
"Bila saya sampai, saya nampak api marak dan melihat satu demi satu motosikal pelanggan hangus," katanya dengan nada sebak.
Mohammad Zamri Ismail berkata, dia tidak mampu menolak kuasa Tuhan apabila memberikan ujian sedemikian kepadanya.
"Saya perlu reda, benda hendak berlaku saya tidak boleh buat apa, tapi saya minta pelanggan dapat memahami keadaan saya," luahnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!