Sisihkan sebahagian harta untuk anak yatim

Iklan
PU HAFIZ (kanan) ketika menghuraikan tajuk 'Korban Harta untuk Anak Yatim' dalam program Podcast POV Sinar Islam Plus dibawakan khas oleh YIDE.

Satu bentuk pengorbanan, jadi 'modal' untuk berjiran dengan Rasulullah SAW di syurga

MESKIPUN tidak mampu melaksanakan ibadah korban pada Hari Raya Aidiladha nanti, masih ada amalan lain yang boleh dilakukan sebagai 'modal' untuk kita berjiran dengan Rasulullah SAW di syurga.

Caranya adalah dengan menyisihkan sebahagian harta dimiliki untuk anak-anak yatim. Apatah lagi pada 10 hari terawal bulan Zulhijah yang digalakkan untuk berinfak di samping melakukan amalan lain seperti menumpahkan darah haiwan korban.

Iklan
Iklan

Dalam Islam, anak yatim merujuk kepada anak kecil yang kematian bapa.

Pendakwah Ustaz Muhammad Hafiz Mohd Haneefa atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Hafiz menjelaskan, mereka yang menyantuni anak yatim tergolong dalam kelompok yang dekat Rasulullah SAW di jannah kelak.

Iklan

Ia sebagaimana disebutkan dalam satu riwayat Nabi Muhammad SAW bersabda: "Aku dan orang yang menjaga anak yatim seperti ini di dalam syurga.” Baginda SAW mengisyaratkan dengan merapatkan dua jari Baginda SAW iaitu jari telunjuk dan jari tengah." (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

"Jadi kita yang banyak menderma, penjaga khususnya yang memelihara anak-anak saudara atau datuk dan nenek serta mereka yang menginfakkan (harta untuk anak yatim), semuanya duduk sebaris (dengan Nabi Muhammad SAW).

Iklan

"Bukan senang hendak duduk dengan Nabi, tetapi dengan infak sedikit harta yang ada dan beramal, ALLAH SWT beri ganjaran pahala kepada kita begitu banyak," katanya ketika menjadi panel dalam program Podcast POV Sinar Islam Plus bertajuk 'Korban Harta untuk Anak Yatim'.

INFAKKAN harta untuk anak yatim dan santunilah mereka kerana mereka yang berbuat demikian kerana ALLAH SWT tergolong dalam kelompok yang dekat Rasulullah SAW di jannah kelak. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Program itu dibawakan khas oleh Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) yang dihoskan oleh Azman Mohd Nawi dan dipancarkan secara langsung menerusi semua saluran media sosial Sinar Islam Plus dan Sinar Harian.

Dalam pada itu, PU Hafiz menjelaskan, ALLAH SWT menjanjikan imbalan bukan calang-calang kepada mereka yang berinfak dengan setiap sedekah dilakukan akan digandakan ganjarannya sehingga 700 kali ganda sepertimana dirakamkan dalam ayat ke-261 Surah al-Baqarah.

Bahkan katanya, kitab suci umat Islam itu juga memerihalkan tentang orang yang pada penghujung usianya merayu kepada ALLAH SWT agar melambatkan kematiannya supaya dia boleh bersedekah sebagaimana disebutkan pada ayat ke-10 Surah al-Munafiqun.

"Bayangkan itu yang dimintanya sebagai amalan akhirnya. Dia tidak cakap tentang hendak pergi solat, pergi haji ataupun baca al-Quran.

"Masih belum terlambat untuk kita menyerahkan sebahagian harta dimiliki khususnya kepada anak-anak yatim. Badan-badan berautoriti seperti YIDE boleh membantu," katanya.

Di bawah YIDE, terdapat beberapa program infak melibatkan anak yatim seperti Infaq Dana Anak Yatim dan Infaq Dana Pembinaan Kompleks Asrama Anak Yatim.Maklumat lanjut boleh layari laman web https://yide.com.my/.