BUTTERWORTH - Seorang pembantu am yang berkhidmat dengan agensi penguatkuasa di negeri ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii dan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya yang berusia empat tahun.
Tertuduh yang berusia 38 tahun itu membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa atas melakukan persetubuhan luar tabii dan amang seksual fizikal terhadap mangsa di sebuah rumah di Taman Seri Emas, Nibong Tebal pada Mei lalu antara jam 5.30 petang hingga 6.30 petang.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Nadia Jamal tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh berikutan mangsa merupakan anak kandungnya dan risiko kejadian sama akan berulang lagi.
"Mangsa dalam kes ini hanya berusia 4 tahun dan merupakan anak kandung tertuduh.
"Dikhuatiri sekiranya jaminan dibenarkan, kejadian sama akan berulang lagi berikutan mereka tinggal dalam satu rumah," katanya.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak mengemukakan sebarang rayuan dan menyatakan mahu dibicarakan.
Hakim tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 15 Julai depan untuk sebutan semula kes berkenaan sementara menunggu laporan perubatan dan memberi peluang kepada tertuduh melantik peguam.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!