IPOH - Lelaki yang menikam mati isterinya dalam satu pertengkaran, Rabu lepas didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh pada Jumaat atas tuduhan membunuh.
Wong Choon Foo, 56, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret S Punitha.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Penjaja 'chee cheong fun' itu didakwa dengan sengaja melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian kepada Yew Mee Fong, 48, di sebuah rumah di Laluan Simee 11, Kampung Simee, Ipoh antara jam 8.30 pagi hingga 9 pagi pada 12 Jun 2024.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Vatchira Wong Rui Fern manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh dan mahkamah menetapkan 19 Ogos depan untuk sebutan semula kes serta serahan laporan kimia.
Media melaporkan, dalam kejadian sekitar jam 8.30 pagi itu, seorang wanita ditemui mati dipercayai selepas ditikam beberapa kali oleh suaminya akibat berlaku pertengkaran.
Mangsa ditemui terbaring di kawasan garaj rumahnya dengan tiga kesan tikaman di dada dan kecederaan di bahagian kepala.
Lebih menyedihkan apabila kejadian itu turut disaksikan anak perempuan pasangan terbabit yang berusia 12 tahun.
Polis kemudiannya menahan suami mangsa pada hari sama kejadian dan turut merampas sebatang besi yang digunakan dalam kejadian itu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!