PM gesa penjawat awam pacu pertumbuhan negara

Iklan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan semasa hadir pada Himpunan Aspirasi Madani Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Jumaat. Foto Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat menggesa penjawat awam melakukan anjakan, memacu pertumbuhan negara dengan kerajaan terus fokus melaksanakan usaha memperkasa kebajikan warga perkhidmatan awam.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, setiap penjawat awam perlu mengekalkan amalan dan tatakelola baik serta membuang amalan buruk yang akan menjejaskan perkhidmatan awam dan negara.

Iklan
Iklan

"Jika prestasi penjawat awam bertambah baik tentunya saya beri pengiktirafan. Ini tanggungjawab saya sebagai bapa dan sebagai seorang bapa, saya gesa anak lebih kuat disiplin, belajar dan kuat kerja.

"Saya nak keputusan baik, bagi sokongan kuat kepada bapa supaya buat kerja dengan lebih baik,” katanya ketika berucap pada Himpunan Aspirasi Madani Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) di sini pada Jumaat.

Iklan

Anwar berkata, ketika ini Kerajaan Perpaduan pimpinannya telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk menjaga kebajikan penjawat awam, merangkumi kenaikan gaji penjawat awam melebihi 13 peratus bermula Disember ini.

Anwar berkata, pelarasan gaji penjawat awam kali ini mempunyai pendekatan berbeza dan ia selaras dengan dasar Madani yang digagaskan kerajaan ketika ini.

Iklan

"Pendekatan pelarasan gaji kali ini tidak sama dan ada perubahan, peningkatan (gaji) perlu bermakna dan keduanya ia harus selari dasar Madani.

"Ia perlu mengurangkan jarak terlalu tinggi melebar termasuk dalam kalangan penjawat awam, maknanya yang tertinggi akan naik terkecil dan terendah akan naik terbanyak," katanya disambut tepukan gemuruh daripada 10,000 ahli AKRAB.

Sementara itu Perdana Menteri berkata, kefahaman dan keupayaan penjawat awam dalam bidang digital dan kecerdasan buatan (AI) perlu dipertingkat kerana ia keperluan mendesak.

"Maka harus ada setiap jabatan satu penerangan untuk tingkat kefahaman dan keupayaan bidang digital dan AI. Ia harus dijadikan program awam secara besar.

"Kalau tidak kebimbangan saya ialah digital dan AI akan menyebabkan kesenjangan lebih meluas.

Sebab itu syarikat baharu... saya wajibkan syarat latihan lebih menyeluruh, bukan untuk elit bandar tetapi untuk masyarakat desa, penjawat awam rendah dapat latihan," katanya.

Anwar seterusnya memberi penekanan kepada keperluan pemerkasaan ekonomi negara yang menurutnya perlu diterapkan seiring dengan pemerkasaan budaya dan nilai.

"Pemerkasaan ekonomi itu masih 'fundamental' kalau tidak diperkuat ekonomi pertumbuhan tidak meningkat, pelaburan tidak bertambah, inflasi tidak dikawal dan pengangguran tidak dikawal... itu tidak membantu kita.

"Sebab itu fokus kita yang asas iaitu 'fundamental' masih ekonomi, kalau tidak... tidak mungkin kita fikir soal keselesaan hidup, peruntukan tambahan untuk pendidikan atau kesihatan, pelarasan gaji penjawat awam," katanya.

Mengenai AKRAB, Anwar mahu ahli AKRAB menjalankan amanah dengan baik kerana mereka adalah benteng perkhidmatan awam.

"Hari ini, saya berikan amanah besar kepada AKRAB untuk jaga negara ini, jaga imej dan integriti penjawat awam dan lapor pengkhianat dan perasuah kerana kita pahlawan bangsa," katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta beberapa barisan Jemaah Menteri, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz turut hadir pada majlis itu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!