JOHOR BAHRU - Gara-gara tertarik dengan tawaran kerja sambilan secara dalam talian dan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan, dua lelaki berputih mata apabila mengalami kerugian berjumlah RM1,205,997.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, dalam kes pertama, seorang lelaki berusia 57 tahun kerugian RM733,597 selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan yang memintanya membuat pembelian barangan sukan dan kosmetik untuk menjana keuntungan.
Menurutnya, mangsa yang tertarik dengan keuntungan dijanjikan telah memuat turun dan mendaftar di laman web diberikan.
"Mangsa seterusnya mengikut arahan suspek dengan melakukan 'task' yang dikehendaki dan membuat bayaran ke akaun bank yang diarahkan sehingga berjumlah RM267,000. Hasilnya pengadu mendapati laman web yang dimuat turun memaparkan keuntungan berjumlah RM70,000.
"Mangsa berhasrat mengeluarkan wang keuntungan berkenaan, namun diarahkan membuat bayaran tambahan sehingga menjadikan keseluruhan bayaran dibuat berjumlah RM733,597.
"Bagaimanapun mangsa syak telah ditipu kerana masih tidak menerima sebarang pulangan sama ada wang pokok mahu pun keuntungan yang dikatakan berjaya dijana,” katanya.
Kumar berkata, bagi kes kedua pula, seorang pengurus syarikat kerugian lebih RM400,000 selepas tertarik dengan iklan pelaburan dalam pembelian saham sebuah kolej di luar negara.
Menurutnya, mangsa telah berurusan dengan suspek melalui WhatApps bagi mendapatkan maklumat lanjut dan diminta memuat turun aplikasi yang diberikan bagi memantau pelaburannya serta melihat keuntungan yang diperoleh.
"Mangsa seterusnya telah mengikut arahan suspek dengan membuat pembayaran ke beberapa akaun bank sehingga berjumlah RM472,400.
"Mangsa kemudian membuat semakan di laman web diberikan dan mendapati pelaburannya telah merekodkan keuntungan berjumlah RM3.7 juta dan berhasrat mengeluarkan wang tersebut," katanya.
Tambah beliau, mangsa mengesyaki telah ditipu kerana suspek memberikan pelbagai alasan, malah diarahkan untuk membuat bayaran tambahan sehingga akhirnya suspek gagal dihubungi.
Kumar berkata, kedua-dua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun atau dengan sebat serta boleh dikenakan denda.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!