[VIDEO] Tiada air di Kota Kinabalu disebabkan unsur sabotaj?

Iklan

PUTATAN - Terdapat unsur sabotaj oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dalam isu bekalan air dihadapi di sekitar Kota Kinabalu termasuk kawasan Sepanggar.

Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya mengakui berlaku masalah itu di kawasan Kota Kinabalu, Tuaran, Penampang, Putatan dan Papar.

Iklan
Iklan

"Pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) berusaha sejak pertengahan tahun lepas sehingga sekarang untuk menstabilkan tekanan bekalan air di kawasan terlibat.

"Apa yang menjadi cabaran kita selain daripada keadaan paip pecah, terdapat kejadian kecurian disebabkan sambungan haram yang agak tinggi di kawasan Sepanggar dan lebih mendukacitakan kita syaki ada unsur sabotaj.

Iklan

"Kenapa saya mengatakan demikian kerana ada beberapa injap kita ditutup dan ini bukan satu perkara boleh dilakukan orang awam," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kempen Membasmi Infestasi Tikus di Pasar Awam Putatan, di sini, pada Jumaat.

Shahelmey ketika melawat perangkap tikus yang dicipta menerusi pertandingan sempena Kempen Membasmi Infestasi Tikus di Pasar Awam Putatan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah isu air di Kota Kinabalu terutama di Universiti Malaysia Sabah (UMS) berada di tahap serius sehingga satu perhimpunan akan diadakan pada Jumaat di hadapan Menara Kinabalu oleh mahasiswa universiti tersebut.

Iklan

Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, setakat ini pihaknya berjaya mengenal pasti beberapa kawasan yang mengalami isu sama dan laporan polis telah dibuat untuk siasatan lanjut.

"Kita mengambil serius perkara ini dan saya telah mengarahkan agar siasatan dilakukan. Pada minggu lepas ada satu laporan polis dibuat apabila Taman Sempelang dan Tanjung Aru telah terputus bekalan air beberapa hari.

"Kita mendapati bahawa ada injap yang telah ditutup, jadi ini menimbulkan tanda tanya kepada kita sama ada ia adakah berunsur sabotaj atau sebaliknya," katanya.

Sementara itu, ditanya berhubung perhimpunan yang digerakkan oleh Suara Mahasiswa UMS, beliau berkata akan berada di lokasi untuk melihat dan seterusnya menerima memorandum yang akan dikemukakan oleh gerakan tersebut.

"Saya sempat berjumpa dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan kita telah memberi penerangan kepada mereka tentang situasi air semasa UMS dan mereka dapat gambaran sebenar.

"Jadi petang ini ia digerakkan oleh satu kumpulan yang dipanggil Suara Mahasiswa dan kalau dilihat daripada komen-komen sebelum ini ia seakan-akan bermotifkan politik. Jadi kita lihat dan tunggu apa memorandum serta pergerakan mereka pada petang ini," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!