Kes kelar isteri: Suami didakwa tuduhan bunuh

Iklan
Suria Raj (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan membunuh isterinya yang ditemukan dengan kesan kelar di leher dan tangan kanan, minggu lepas. Foto Bernama

KLANG - Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan membunuh isterinya yang ditemukan dengan kesan kelar di leher dan tangan kanan, minggu lepas.

S Suria Raj, 31, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dan tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada lelaki itu kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Iklan
Iklan

Tertuduh didakwa membunuh A Kirshashini, 28, di dalam bilik tidur di sebuah pangsapuri di Jalan Palma, Bandar Botanik di sini antara 6.30 hingga 7 pagi pada 7 Jun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun dan sebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Iklan

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Jannah Aimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret, Siti Zubaidah Mahat menetapkan 3 September ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan kesihatan mental.

Iklan

Media sebelum ini melaporkan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring di atas katil dengan kesan kelar di leher dan tangan kanan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!