Selangor catat pengunjung domestik tertinggi

Iklan
Info grafik mengenai jumlah kemasukan pelancong domestik tertinggi di Selangor diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sarawak.

SHAH ALAM - Selangor terus mendominasi sektor pelancongan apabila mencatatkan kemasukan 27.6 juta pengunjung domestik pada tahun lalu.

Tourism Selangor dalam kenyataannya memaklumkan, Jabatan Perangkaan merekodkan Selangor mengatasi semua negeri lain di Malaysia, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 22.2 juta pengunjung dan Sarawak sebanyak 17.9 juta pengunjung.

Iklan
Iklan

"Ini menandakan tahun ketiga berturut-turut negeri Selangor menerajui dalam pasaran pelancongan domestik," kata kenyataan itu pada Jumaat.

Menurut Tourism Selangor, negeri itu berjaya menerima 10 juta pengunjung domestik pada 2021 dan meningkat kepada 22 juta pada 2022.

Iklan

Tourism Selangor memaklumkan, pertumbuhan mampan itu telah meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Selangor dengan ketara, menyumbang RM2.571 bilion pada tahun lalu.

Jelas Tourism Selangor, pencapaian itu menggariskan peranan negeri Selangor yang penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi melalui sektor pelancongan.

Iklan

"Prestasi luar biasa negeri ini adalah bukti kejayaan kempen pelancongan domestiknya, 'Nak Bercuti?, Pusing Selangor Dulu',” tambah kenyataan berkenaan.

Tourism Selangor berkata, pihaknya mahu mempromosikan 10 segmen pelancongan pelbagai di sembilan daerah sekali gus meletakkan asas kukuh bagi Tahun Melawat Selangor 2025.

"Selangor menyasarkan untuk meneruskan kejayaannya dengan menarik lapan juta pelancong, termasuk pelancong domestik dan antarabangsa pada tahun hadapan.

"Kita komited untuk meningkatkan tawaran tarikan pelancongan dan memastikan ia kekal sebagai destinasi utama untuk pelancong," jelas kenyataan itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!