KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan sindiket mencuri motosikal yang aktif sejak enam bulan lepas dengan penahanan empat individu termasuk seorang wanita dalam serbuan berasingan sekitar Lembah Klang pada Mei lepas.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, kesemua individu berusia 27 hingga 38 tahun itu ditahan menerusi Ops Lejang Khas pada 13 dan 14 Mei lepas.
"Hasil siasatan mendapati sindiket yang diketuai oleh individu digelar ‘Apek’ berusia 35 tahun itu mencuri motosikal bersama rakan-rakannya dengan menyasarkan motosikal jenis Yamaha.
"Suspek akan meleraikan dan menjual komponen motosikal kepada rakan-rakan melalui aplikasi WhatsApp serta untuk kegunaan sendiri manakala rangka motosikal dibuang ke kawasan semak,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas pelbagai komponen motosikal dianggarkan bernilai RM50,000 selain peralatan yang disyaki digunakan untuk mencuri motosikal.
Ahmad Sukarno berkata, hasil semakan mendapati kesemua suspek mempunyai 18 rekod jenayah lampau melibatkan kes curi dan dadah serta hasil ujian saringan air kencing adalah negatif.
Beliau berkata, kesemua suspek diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields untuk siasatan di kawasan berkenaan membabitkan kes kecurian selepas tempoh reman mereka tamat 8 Jun lepas.
Tangkapan itu berjaya menyelesaikan 16 kes kecurian yang dilaporkan di Kuala Lumpur dan Selangor serta kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!