Tak sampai seminit larikan barang kemas

Iklan
Rakaman kamera litar tertutup premis memaparkan tindakan suspek menyamun premis kedai emas di Pelabuhan Klang, pada Khamis. (Gambar kecil: Hoong Fong)

KLANG - Seorang lelaki bersenjatakan pistol hanya mengambil masa kurang satu minit untuk melarikan barang kemas bernilai RM27,000 dalam kejadian samun kedai emas di Pelabuhan Klang, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, dalam kejadian berlaku kira-kira jam 4.15 petang itu, suspek bertindak memegang pengawal keselamatan kedai itu sebelum membawanya masuk.

Iklan
Iklan

Katanya, suspek kemudian melepaskan dua das tembakan ke lantai sebelum orang awam segera melarikan diri.

"Suspek juga mengambil dua beg tangan milik pelanggan premis itu sebelum melarikan diri menaiki motosikal jenis Yamaha Y15 warna biru," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan
Suspek bertindak melepaskan dua das tembakan ke lantai sebelum orang awam segera melarikan diri.

Beliau berkata, kejadian berkenaan tidak melibatkan kecederaan kepada pelanggan dan penjaga premis, manakala anggaran kerugian masih belum dapat dipastikan.

Menurutnya, Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Selangor telah hadir ke lokasi kejadian dan menemui beberapa barang kes termasuk satu kelongsong peluru.

Iklan

"Suspek dipercayai seorang lelaki dewasa berbadan gempal, berbaju lengan panjang warna merah selain bertopi keledar kini giat dikesan untuk tangkapan dalam masa terdekat," ujarnya.

Kata Hoong Fong, polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat untuk hadir ke balai polis berhampiran atau hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 untuk bantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!