Subsidi diesel: MOF teliti cadangan, rayuan petani Cameron Highlands

Iklan
Hui Ying (tiga dari kanan) menerima memorandum daripada Ee Mong (tiga dari kiri) pada Program Sesi Libat Urus bersama Pekebun Cameron Highlands mengenai Budi Madani dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 di Brinchang hari ini. Foto Bernama

CAMERON HIGHLANDS - Kementerian Kewangan akan meneliti cadangan dan dapatan hasil sesi libat urus kementerian itu dengan pengusaha dan pekebun sayur di Cameron Highlands susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, kesemua maklumat berkaitan akan dikumpul sebelum diteliti bersama kementerian berkaitan untuk diputuskan secara bersama.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kerajaan sentiasa peka dan mengambil maklum keluhan dan rayuan pekebun sayur di Cameron Highlands yang membangkitkan beberapa perkara penting mengenai program penyasaran tersebut.

"Paling banyak yang kita terima daripada sesi dialog tadi adalah mereka meminta kajian semula syarat kelayakan yang mengehadkan minimum jualan pertanian sebanyak RM50,000 hingga RM300,000 setahun, syarat itu terlalu rendah dan mereka minta dinaikkan.

Iklan

"Selain itu mereka turut menyatakan kebanyakan pengusaha kebun di sini guna peralatan yang menggunakan diesel, namun tidak termasuk dalam syarat layak untuk mendapatkan subsidi yang diperkenalkan kerajaan," katanya dalam sidang media selepas Sesi Libat Urus Bersama Pengusaha/Pekebun Cameron Highlands Mengenai Budi Madani dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 di sini hari ini.

Hui Ying berkata, sesi libat urus itu turut membabitkan wakil daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memberikan penerangan jelas kepada petani.

Iklan

"Dialog ini penting kerana ia melibatkan pemegang kepentingan utama industri makanan negara dan kita mahu mereka sedar kerajaan sentiasa bersama mereka," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pekebun Sayur Cameron Highlands, Chai Ee Mong berkata, pihaknya meminta kerajaan mengkaji semula pelaksanaan bantuan subsidi diesel Budi Madani bagi memastikan inisiatif tersebut dapat dinikmati oleh petani dan pekebun kecil secara menyeluruh.

"Subsidi diesel yang diperkenalkan kerajaan amat baik, namun ada keciciran berlaku khususnya syarat yang diperkenalkan kebanyakannya kami tidak layak untuk dapatkan subsidi terbabit.

"Di Cameron Highlands sahaja terdapat 2,200 petani dan kami sekarang perlu bersaing dengan sayur yang diimport dari Thailand dan China di mana akhirnya kami, petani tempatan tidak boleh pasarkan sayur kami di pasaran tempatan kerana sayur diimport lebih murah, jadi akan berlaku lambakan," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!