Rompak guna pisau tolak, lelaki dijel 10 tahun dan tiga sebatan

Iklan
Foto hiasan

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan terhadap seorang lelaki selepas mendapatinya bersalah atas pertuduhan merompak seorang wanita bersenjatakan sebilah pisau tolak, tahun lepas.

Hakim Norina Zainol Abidin berkata, Mohammad Faizal Roslan yang tidak diwakili peguam, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapinya di akhir kes pembelaan.

Iklan
Iklan

"Setelah mahkamah meneliti semula keterangan saksi-saksi pendakwaan dan mendengar keterangan saksi pembelaan iaitu tertuduh, mahkamah mendapati tertuduh bersalah dan disabitkan dengan kesalahan atas pertuduhan pindaan di bawah Seksyen 392 dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan," katanya.

Mohammad Faizal, 31, didakwa merompak dengan bersenjatakan sebilah pisau tolak terhadap Nor Hazirah Mohd Azral, 25, dengan meragut telefon bimbit wanita itu sehingga menyebabkan kerugian RM1,000.

Iklan

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Sultan Ismail, Dang Wang di sini pada 4.30 petang, 29 April 2023 mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan penjara maksimum 14 tahun dan denda dan sebat.

Timbalan Pendakwa Raya Ngoh Jess Lyn memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara maksimum dan sebat sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Iklan

"Berdasarkan trend kebanyakan kes, tertuduh yang mengaku bersalah dikenakan hukuman penjara bagi tempoh antara lima hingga sembilan tahun dan untuk sebatan, tiga hingga lima sebatan.

"Dalam kes ini, tertuduh telah melalui perbicaraan penuh. Mohoh mahkamah jatuhkan hukuman berat," katanya.

Bagaimanapun ketika ditanya Norina berkenaan rayuan, Mohammad Faizal memaklumkan dia tidak mempunyai sebarang rayuan.

"Saya tiada apa rayuan, kalau mahkamah dapati saya bersalah saya terima hukuman. Saya tiada keluarga dan saya belum berkahwin, ibu saya masih ada...dia sekarang berusia 60 tahun," kata tertuduh. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!