YALA - Terdapat hanya empat atau lima pasangan sahaja dari Malaysia yang melangsungkan perkahwinan di Wilayah Yala, Thailand berbanding Narathiwat dan Songkhla.
Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Yala, Nik Muhamad Amin Nik Soh berkata, sehingga kini jika dihitung, tidak ramai pasangan dari Malaysia yang datang berkahwin di wilayah berkenaan.
Menurutnya, perkara itu disebabkan kedudukan wilayah tersebut agak jauh dari sempadan menyebabkan ramai pasangan Malaysia memilih berkereta ke Narathiwat atau melalui penerbangan terus ke Songkhla.
"Biasanya mereka yang datang tinggal berhampiran sempadan Malaysia-Thailand dan perlu datang ke Yala bagi melengkapkan dua marhalah atau ukuran perjalanan iaitu lebih 90 kilometer.
"Bagi pasangan yang menggunakan penerbangan, biasanya akan ke Songkhla kerana di sana mereka boleh bernikah dan terus mendapatkan pengesahan dari pihak Konsulat Malaysia, seterusnya mendapat sijil nikah,” katanya yang juga Imam Besar Masjid Yala.
Mengulas lanjut, Nik Muhamad Amin berkata, proses nikah di Thailand sebenarnya mempunyai syarat-syarat seperti mana di Malaysia dan akan disoal berhubung faktor mengambil tindakan kahwin di Thailand.
"Kita meletakkan syarat ketat kerana tidak mahu pasangan tersebut berhadapan masalah pada masa hadapan terutama apabila mendapat anak sekiranya tidak didaftarkan di Malaysia.
"Bagi pasangan berkahwin di Thailand, sekiranya mahu bercerai, mereka perlu hadir menyelesaikannya di negara ini, manakala bagi yang kahwin di Malaysia tetapi mahu bercerai di Thailand, ia tidak dibenarkan apatah lagi sekiranya tidak didaftarkan kerana tindakan itu bakal mengundang banyak masalah kepada pasangan wanita seolah-olah digantung tidak bertali," katanya.
Pada masa ini terdapat 30 jurunikah yang juga Ahli Jawatankuasa Majlis Agama Islam Yala dan mereka perlu mempunyai tandatangan dari Majlis Agama Islam dari seluruh negeri di Malaysia untuk diberikan kebenaran menikahkan pasangan Malaysia, tambah beliau.
"Tindakan ini sekali gus berjaya mengurangkan kes-kes perkahwinan melibatkan jurunikah tidak bertauliah dan mendatangkan masalah kepada pasangan pada masa hadapan,” katanya yang akan mengadakan mesyuarat dengan pihak Majlis Agama Islam dan Istiadat Kelantan (MAIK) pada Ogos depan," katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!