SHAH ALAM - Seorang lelaki memilih menolak bantuan zakat sebaliknya mahu berusaha dengan bekerja terlebih dahulu bagi menyara keluarga.
Kisah lelaki berkenaan tular di media sosial selepas dikatakan sanggup berjalan kaki lebih tiga jam dari rumahnya di Beranang ke Taman Jasmin, Kajang semata-mata mahu mendapatkan bantuan makanan untuk isteri dan anak-anak.
Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang mendapat maklumat berhubung kejadian itu telah menjejaki individu bagi memberikan bantuan bersesuaian.
LZS memaklumkan, siasatan mendapati si bapa tinggal bersama enam orang tanggungan termasuk bayi berusia 9 bulan di rumah pusaka ibu mertua.
Menurutnya, lelaki berkenaan bekerja sebagai tukang masak katering di Sungai Tangkas Kajang dengan pendapatan bulanan antara RM800 hingga RM1800 bergantung kepada jumlah majlis diterima.
Bagaimanapun, motosikalnya yang rosak sejak dua minggu lalu telah menyebabkannya tidak dapat bekerja dan terputus sumber pendapatan buat seketika.
"Kini motosikal telah dibaiki dengan kos sumbangan orang luar dan abang ipar.
"Kejadian berjalan kaki bagi mendapatkan makanan bukanlah atas meminta-minta tetapi selepas melihat iklan pemegang akaun Facebook yang menawarkan secara terbuka nasi kukus bagi sesiapa yang berkehendak atau memerlukan tanpa bayaran," menurut perkongsian di Facebook LZS.
LZS berkata, pihaknya sebelum ini pernah menyalurkan bantuan kecemasan kepada lelaki berkenaan bagi pembelian susu dan lampin pakai buang anak.
"Borang asnaf fakir miskin turut diberikan namun beliau memilih untuk menolak kerana ingin bekerja terlebih dahulu.
"Kami turut hulurkan juga wang kecemasan bagi meringankan bebanan beliau.
"Insya-ALLAH LZS akan sentiasa membantu bagi mereka yang memerlukan. Semoga urusan keluarga ini dipermudahkan dan dilimpahkan rezeki yang luas," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!