Dua anggota polis terbunuh serangan Balai Polis Ulu Tiram dinaikkan pangkat

Iklan
Saifuddin (lima dari kiri) beramah mesra dengan para penerima anugerah pada majlis pemakaian pangkat secara medan dan posthumous di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Dua anggota polis yang terbunuh dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei dinaikkan pangkat secara posthumous.

Dalam satu majlis di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur pada Jumaat, Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, dianugerahkan pangkat koperal secara posthumous.

Iklan
Iklan

Acara disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasutiion Ismail dan diterima oleh ibu bapa kedua-dua anggota polis terbabit.

Saifuddin berkata, dua anggota berkenaan turut menerima pampasan masing-masing RM216,632 dan RM213,586 meliputi bantuan mengurus jenazah, syer kerajaan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya.

Iklan
Allahyarham Ahmad Azza Fahmi dan Allahyarham Muhamad Syafiq merupakan anggota ronda cegah jenayah di Balai Polis Ulu Tiram. Foto FB PDRM

"Bukan nilai ratusan ringgit yang diutamakan tetapi ia bertujuan meringankan beban keluarga.

"Ini kerana kita tidak boleh gantikan kesedihan kehilangan ahli keluarga dengan wang ringgit.

Iklan

"Namun aspek kebajikan ahli keluarga PDRM akan sentiasa kita jaga dan ia memperlihatkan hubungan polis dengan ahli keluarga mangsa tidak akan terputus," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas majlis Pemakaian Pangkat Secara Medan dan Posthumous di Pulapol di sini.

Hadir sama, Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Azmi Abu Kassim.

Saifuddin berkata, tiga anggota Balai Polis Ulu Tiram yang terbabit dalam kejadian itu adalah Koperal Mohd Hasif Roslan, 38; Konstabel Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa dan Lans Koperal Muhammad Aznel Salleh, 30, turut menerima kenaikan pangkat secara medan.

Beliau berkata, tindakan berani anggota dalam insiden terbabit membuktikan modul latihan yang diterima pelatih sebelum menjadi anggota dan pegawai polis adalah berkesan dalam menghadapi situasi kritikal.

Kata beliau, kejadian itu memberi isyarat bahawa modul latihan PDRM mampu melahirkan anggota polis yang mampu menguruskan situasi kritikal dengan kematangan luar biasa.

"Modul latihan yang diberikan tidak ubah seperti operasi, cuti raya tidak boleh balik kampung bagi membiasakan mereka ini, hasilnya anggota yang lulus menjadi anggota kompeten," ujarnya.

Tambah beliau, modul latihan terbabit sentiasa berubah mengikut kesesuaian dengan perkembangan dan keperluan keselamatan semasa.

Dalam kejadian 17 Mei lalu, dua anggota polis iaitu Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan parang, manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, cedera ditembak.

Susulan kejadian itu, polis menahan lima ahli keluarga suspek berumur 19 hingga 62 tahun mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!