KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menyakini perbankan Islam atau bank patuh syariah secara digital sepenuhnya mampu merancakkan lagi ekonomi dan sektor pelancongan di negeri ini.
Exco Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan negeri, Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman berkata, perbankan digital bukan sahaja dilihat sebagai suatu kemudahan masa kini, tetapi juga penyelesaian kewangan masa hadapan yang bakal menjadi satu keperluan penuh kelak.
"Kerajaan Kelantan menyokong setiap inisiatif memacu gerakan ke arah transaksi tanpa tunai dan pembayaran digital.
"Kewujudan bank digital patuh syariah tepat pada masa dan sejajar dengan perkembangan sekali gus membantu meningkatkan lagi ekonomi serta menarik lebih ramai pelancong ke negeri Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen #SenangJer Tour AEON Bank (M) Berhad di kompleks beli-belah di Lembah Sireh di sini pada Jumaat.
Beliau mewakili Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif, AEON Bank (M) Berhad, Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz.
Md Anizam mengulas, kerajaan negeri itu terus melaksanakan dasar-dasar Islam dalam pentadbiran dan ekonomi termasuk bagi sektor perbankan dan kewangan.
Menurut beliau, dengan kesungguhan dan aspirasi dasar pentadbiran Membangun Bersama Islam, kerajaan tersebut terus menggalakkan institusi kewangan untuk menawarkan produk-produk mengikut syariah dan mempromosikannya kepada rakyat supaya menggunakannya atas dasar patuh kepada perintah agama.
"Sebagai contoh di awal pentadbiran pada tahun 1990, kerajaan Kelantan membuat keputusan untuk memindahkan wang kerajaan negeri ini ke Bank Islam seterusnya mengesyorkan kepada bank-bank konvensional untuk membuka kaunter bank islamik.
"Kelantan juga menubuhkan sistem pajak gadai Islam, ar-Rahnu yang sehingga menjadi pemangkin kepada sistem pajak gadai seluruh seluruh negara,” katanya.
Sementara itu, Raja Teh Maimunah berkata, pemilihan Kelantan sebagai negeri pertama jelajah berkenaan dibuat berdasarkan potensi besar kalangan rakyat di negeri itu beralih ke perbankan digital islamik.
"Kelantan bukan sahaja terkenal dengan nilai-nilai Islam yang diamalkan malah rakyatnya juga diakui mempunyai kuasa beli yang besar.
"Aeon Mall di Kota Bharu sendiri mencatatkan rekod jumlah aliran pembelian antara tertinggi dalam kalangan 195 cawangan pusat beli-belah itu diseluruh negara dan hanya perlukan sedikit pendidikan untuk mereka beralih kepada urusan pembelian atau perbankan secara digital sepenuhnya,” kata beliau.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!