ISKANDAR PUTERI - Norasiah Ramdan, 37, ibu kanak-kanak perempuan Nurul Aqisyah Abdullah, 10, yang meninggal dunia akibat lemas setelah terjatuh ke Sungai Gelang Patah di Jeti Sungai Kampung Dapur Arang, di sini pada Khamis, mengakui masih terkejut dengan insiden berkenaan.
Menurut Norasiah, ketika kejadian, dia sedang bekerja dan apabila pulang dari kerja dia terus ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan kakaknya mengenai Nurul Aqisyah yang jatuh ke dalam sungai ketika bermain di jeti bersama beberapa kanak-kanak lain.
"Masa tu, saya balik kerja dan saya tengok anak saya tak ada, saya dapat info daripada kakak saya, kakak cakap anak saya lemas.
"Masa balik kerja, saya terus ke tempat kejadian dan saya tengok dah ramai orang. Saya memang terperanjat. Betul ke anak saya jatuh?
"Saya macam tak percaya, tapi dia orang kata betul, saya tanya anak saya dia kata betul kakak (panggilan untuk anak kedua saya) jatuh,” katanya kepada Sinar Harian.
Norasiah berkata demikian ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam, Gelang Patah, berhampiran Taman Nusantara, setelah jenazah Allahyarham Nurul Aqisyah, selamat dikebumikan di tanah perkuburan berkenaan sekitar jam 3.15 petang pada Jumaat.
Nurul Aqisyah dilaporkan tergelincir ketika sedang bermain di jeti sebelum terjatuh ke dalam Sungai Gelang Patah.
Untuk rekod, Nurul Aqisyah,10, merupakan anak kedua daripada tiga beradik, Mohd Firdaus Abd Salam, 21 dan Siti Nur Adawyah Aisha, 6.
Tambah Norasiah, sebelum ini anaknya memang tidak pernah bermain-main di jeti berkenaan dan sebab itu dia tidak menyangka anaknya itu terjatuh di kawasan berkenaan.
"Sebelum ni, dia memang tak pernah pun main di jeti ni. Tak tahu macam mana dia boleh pula datang dan bermain-main di jeti pada hari kejadian.
"Masa tu hari hujan dan rasanya anak saya tergelincir dan jatuh ke dalam sungai,” katanya.
Sementara itu, Norasiah berkata, anaknya itu tidak ada menunjukkan apa-apa perubahan atau kelakuan pelik dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini.
Bagaimanapun katanya, anaknya, dilihat lebih banyak tidur dan sering kali bangun tidur lewat berbanding kebiasaannya.
"Cuma yang saya perasan, dia banyak tidur, bangun lewat. Cuma last malam Rabu tu, sebelum saya pergi kerja, saya sempat masak maggie (mi segera) kari untuk dia... tak nak kuah, nak kering, tapi nak telur separuh masak,” katanya.