TAPAH - Pasukan bomba mengambil masa lebih empat jam bagi membersihkan kesan tumpahan minyak masak mentah di Kilometer 329.4 Lebuh Raya Utara - Selatan di sini pada Jumaat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, panggilan khidmat khas diterima pada jam 9.03 pagi apabila sebuah lori kontena yang membawa muatan minyak masak mentah terbalik merintangi laluan ke utara itu.
Menurut beliau, sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tapah diatur gerak ke lokasi kejadian.
"Operasi diketuai Fakrul Razman Mat Zin membuat penilaian risiko dan pemantauan bagi memastikan tiada berlaku sebarang bahaya.
"Terdapat seorang mangsa cedera ringan dalam kejadian itu bagaimanapun dia dihantar mendapatkan rawatan dengan menaiki ambulans milik pihak kesihatan," katanya di sini.
Sabarodzi berkata, kerja-kerja pembersihan dijalankan dengan menabur serbuk kayu.
"Sebanyak 150 kilogram serbuk kayu digunakan bagi tujuan serapan sebelum kerja pembersihan dapat dilaksanakan.
"Operasi itu turut dibantu pihak PLUS Malaysia Berhad sebelum kedua-dua lorong hala ke utara dibuka kepada kenderaan dan operasi tamat pada jam 1.34 tengah hari," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!