Impian besar Mike

Iklan
Mike bersama trofi selepas dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2023. Foto Bernama.

OLAHRAGAWAN Kebangsaan 2023, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah memasang impian besar untuk melahirkan lebih ramai jagoan dunia dalam sukan bina badan pada masa depan.

Beliau yang mesra disapa Mike melihat Malaysia tidak ketandusan pelapis dalam arena sukan tersebut, sebaliknya memiliki ramai atlet berbakat dan mereka perlu diberi pendedahan ke peringkat tertinggi.

Iklan
Iklan

"Kita ada ramai atlet berpotensi seperti dari Sarawak, Johor dan PDRM (Polis Diraja Malaysia). Kita cuma perlu membawa mereka ke landasan yang betul,” katanya.

Bekas juara dunia enam kali itu ditemui media selepas majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil pada malam Khamis.

Iklan

Mike yang mengumumkan persaraan pada Mac lalu dan dilantik sebagai jurulatih kebangsaan turut mendedahkan Malaysia berpotensi melahirkan juara dunia dalam tempoh setahun.

"Saya ada bawa satu pasukan menyertai kejohanan di Laos (Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizikal Asia Tenggara) dan tidak menyangka atlet dari Sarawak, Joseph Ladi berjaya memenangi pingat emas (kategori 65kg bantamweight) pada penampilan pertamanya.

Iklan

"Pertama kali masuk, terus menang. Jadi, saya percaya dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi, kita boleh lahirkan juara dunia baharu bagi sukan ini.

"Namun bukan mustahil juga tahun depan kita akan ada juara dunia sebab ada atlet senior yang saya jaga (berpotensi). Saya harap mereka boleh menang juara dunia dalam kelas masing-masing,” katanya.

Mike menjelaskan selepas memenangi anugerah terbesar sukan negara itu 'membakar' semangatnya untuk mencurahkan segala pengalaman kepada atlet baharu.

"Nasihat untuk atlet-atlet muda. Kekal merendah diri dan jangan berputus asa. Kalau saya boleh menang juara dunia ketika umur 50 tahun, orang lain pun boleh buat. Jadi jangan berputus asa. Fokus, mentaliti dan jaga pemakanan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!