ACARA separuh akhir 200 meter lelaki Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia mencipta kejutan apabila penyertaan pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dibatalkan kerana ‘false start’ atau salah mula.
Aksi separuh akhir di Stadium Darul Makmur di sini itu sepatutnya bermula 6 petang namun ditangguhkan ke 9 malam disebabkan hujan.
Acara akhir yang berlangsung kira-kira 10 malam kemudian menyaksikan atlet ATM Jonathan Nyepa meraih tempat pertama dengan catatan masa 21.28 saat, diikuti atlet Australia Jack Boulton (21.33 saat) dan atlet Pahang Muhammad Efrain Feerzan Khan di tempat ketiga (21.55 saat).
Muhammad Azeem ketika ditemui berkata kejadian itu berada di luar kawalannya.
"Apa yang berlaku ini atas kesalahan saya, saya sendiri tak sabar, tak ada rezeki saya untuk acara ini dan kini saya fokus untuk acara 100 meter,” kata atlet kelahiran Perak itu.
Pelari muda berusia 20 tahun itu merupakan pemegang rekod 100 meter kebangsaan dengan catatan 10.09 saat dan catatan terbaiknya musim ini adalah 10.24 saat ketika beraksi pada Kejohanan Olahraga Jemputan LSU di Los Angeles pada 27 April lepas.
Bagaimanapun, catatan itu masih jauh jika dibandingkan dengan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris yang memerlukannya mencatat 10 saat untuk layak secara merit.
Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia Cahya Mata 2024 yang membuka tirainya hari ini berlangsung selama tiga hari dengan menampilkan 578 atlet terdiri daripada 17 pasukan dalam negara dan lapan negara luar termasuk Australia dan Rusia. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!