Menjelang kemuncak ibadah haji

Iklan
Wuquf di Arafah adalah antara hari paling penting buat jemaah yang menunaikan Rukun Islam Kelima.

MAKKAH - Lebih 1.5 juta jemaah haji dari seluruh dunia membuat persiapan akhir untuk kemuncak ibadah haji pada musim kali ini.

Para jemaah mula bergerak secara berperingkat ke Mina pada Jumaat sebelum melaksanakan wukuf di Arafah keesokan harinya (9 Zulhijjah).

Iklan
Iklan

Demi keselesaan para tetamu ALLAH, pihak berkuasa Arab Saudi telah menyediakan sistem perkhidmatan yang komprehensif untuk memastikan ibadah Rukun Islam Kelima itu dapat dilakukan secara teratur.

Sehingga tarikh akhir kemasukan kumpulan itu yang ditetapkan pada Isnin lalu, Direktorat Umum Pasport telah merekodkan 1,547,295 ketibaan para jemaah melalui pelabuhan, pengangkutan udara dan darat.

Iklan

Sementara itu, jurucakap Kementerian Kesihatan Saudi, Dr Mohammed al-Abdulaali memberi amaran cabaran terbesar pada haji 2024 adalah cuaca panas.

Para jemaah turut dinasihatkan untuk sentiasa memakai payung kerana suhu panas luar biasa.

Beliau turut menasihatkan para jemaah supaya mematuhi garis panduan kesihatan yang diberikan termasuk membawa payung bagi mengelakkan sinaran matahari secara terus, minum air yang mencukupi dan berehat bagi mengelakkan keletihan melampau dan strok haba.

Iklan

"Kami berusaha sedaya upaya untuk menyediakan persekitaran yang sihat dan selamat buat para jemaah meskipun berdepan cuaca agak ekstrem,” ujarnya.

Antara persediaan bersepadu dan teknologi baharu yang digunakan pada kali ini termasuk klinik bergerak di Makkah dan Madinah.

Lebih 32,000 kakitangan perubatan termasuk kira-kira 5,000 doktor dengan pelbagai kepakaran ditugaskan di 183 pusat kesihatan yang dilengkapi dengan teknologi terbaharu.

Para jemaah berulang-alik antara Bukit Safa dan Marwah di Masjidil Haram, Makkah.

Kesemua kemudahan tersebut mempunyai kapasiti lebih 6,400 katil termasuk unit khas untuk jemaah yang diserang strok haba.

Kementerian itu juga memaklumkan tentang perkhidmatan Hospital Seha Virtual dan klinik gabungan maya yang menyediakan perkhidmatan kesihatan jarak jauh menggunakan teknologi canggih.

Difahamkan, jemaah dari hampir 180 negara termasuk Eropah dan Amerika menyahut panggilan haji pada musim kali ini.

Selain itu, terdapat juga kumpulan pertama jemaah dari Amerika Syarikat (AS), Perancis, Itali dan Jerman tiba di bawah program Kementerian Haji dan Umrah pada musim ini.

Lebih 1.5 juta jemaah haji pada musim kali ini akan menuju ke Arafah secara berperingkat pada Jumaat.

Inisiatif Laluan Makkah memudahkan kira-kira 250,000 jemaah dari tujuh negara dan 11 lapangan terbang antarabangsa yang membolehkan mereka melengkapkan dokumen imigresen dan prosedur perjalanan lain di tanah air masing-masing sebelum berlepas ke Tanah Suci.

Bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, pasukan keselamatan telah ditempatkan di kesemua laluan masuk ke Makkah untuk mengekang kemasukan 'jemaah tak diundang' yang tidak memiliki permit haji.

Pengarah Keselamatan Awam dan Ketua Jawatankuasa Keselamatan Haji, Leftenan Jeneral, Mohammad al Bassami menegaskan keselamatan para jemaah dan memastikan tempat suci tidak diceroboh adalah keutamaan mereka.

"Kami akan bertindak tegas terhadap sebarang ancaman yang mungkin timbul,” katanya lagi. - AGENSI/AFP