Penjawat awam perlu jati diri kukuh tolak rasuah

Iklan
Gambar fail Bernama. Gambar kecil: Hamdan Daniel

SHAH ALAM - Setiap individu terutamanya penjawat awam perlu membentuk jati diri yang kukuh bagi menolak godaan melakukan kejahatan termasuk jenayah rasuah.

Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, perkara itu merupakan kuasa pemutus yang paling besar untuk menamatkan budaya rasuah dalam jabatan tersebut.

Iklan
Iklan

"Setiap individu wajar mempunyai kekuatan dalaman yang teguh supaya tidak terjebak dengan amalan rasuah atau salah guna kuasa.

"Apabila mempunyai jati diri yang kuat, seseorang akan berusaha menjalankan tugas dengan penuh amanah dan sebaiknya demi rezeki yang berkat," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan seorang penjawat awam direman tujuh hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM10,000 sebagai dorongan menguruskan permohonan tanah di Negeri Sembilan.

Perintah reman terhadap suspek berusia 30-an itu dikeluarkan oleh Majistret, Syed Mohd Farid Syed Ali di Mahkamah Majistret Sivil selepas permohonan reman dibuat.

Iklan

Tambah Hamdan, jenayah rasuah tidak akan pernah berhenti selagi wujud penawaran dan permintaan daripada golongan yang tidak bertanggungjawab.

Ujarnya, rasuah bukan perkara baharu sehinggakan banyak negara runtuh dan ekonomi pincang akibat jenayah tersebut.

"Melihat kepada jumlah suapan yang dilakukan tidaklah begitu banyak namun ia seperti membuktikan bahawa rasuah seolah-olah sudah sebati dengan masyarakat kita.

"Selagi ada penawaran maka selagi itu ada permintaan rasuah, biasa penerima cepat goyah apabila disogok dengan material seperti wang ringgit, harta dan sebagainya," katanya.

Menurut Hamdan, pihak atasan yang berkepentingan juga harus senada dengan usaha kerajaan bagi membanteras rasuah yang kini semakin membarah.

Jelasnya, jumlah denda dan hukuman penjara perlu dikaji semula agar dapat memberi kesedaran kepada masyarakat Malaysia bahawa amalan rasuah membawa padah bukan sahaja pada diri sendiri malah keluarga serta masyarakat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!