Sindiket rekrut geng rider bawa masuk PATI

Iklan
Antara PATI yang ditahan dalam operasi khas di Kubang Kerian dan Lembah Sireh pada Isnin lalu.

KOTA BHARU - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membongkar taktik sindiket penyeludupan migran dengan merekrut penunggang motosikal untuk membawa keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) dari rumah transit ke terminal bas ekspres.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya menahan dua lelaki warga tempatan dan 33 PATI yang dibawa memasuki Malaysia melalui laluan haram dalam operasi khas pada jam 5.20 pagi di Kubang Kerian dan Lembah Sireh di sini pada Isnin lalu.

Iklan
Iklan

"Sindiket dipercayai telah mengubah modus operandi, taktik itu digunakan untuk mempercepatkan pergerakan PATI ke destinasi di luar Kelantan serta mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Kumpulan sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM2,000 hingga RM3,000 kepada PATI untuk semua urusan berkaitan kemasukan mereka ke negara ini," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Ruslin berkata, berdasarkan maklumat awam dan risikan, seramai 19 anggota Pasukan Taktikal Khas (Pastak) Bahagian Perisikan dan Operasi Khas bersama Unit Risik Sempadan JIM Kelantan telah mengesan sekumpulan PATI yang dipercayai baharu memasuki negara melalui pangkalan haram di sempadan.

"Pasukan operasi bertindak menyerbu sebuah rumah transit dan berjaya menahan seramai empat lelaki warga Bangladesh.

Iklan

"Turut ditahan adalah seorang wanita Thailand dan dua lelaki warga India yang dijumpai berada dalam kereta transporter yang cuba melarikan diri," katanya.

Beliau berkata, susulan dari tangkapan itu, JIM berjaya memperoleh maklumat mengenai pergerakan transporter bermotosikal dipercayai cuba memindahkan PATI ke Terminal Bas Ekspres Lembah Sireh.

"Kita bergegas ke lokasi sasaran dan berjaya menahan dua lelaki tempatan, masing-masing sedang membonceng seorang lelaki warga Myanmar.

"Cubaan seorang penunggang motosikal untuk melarikan diri berjaya dihalang oleh anggota operasi dan kedua-dua motosikal disita untuk tindakan lanjut," ujarnya.

Ruslin berkata, pihaknya turut memeriksa kawasan sekitar terminal dan berjaya menahan seramai 24 orang PATI terdiri dari 17 lelaki dan tujuh wanita warga asing dipercayai sedang menunggu bas untuk dibawa ke destinasi yang ditetapkan.

"Kesemua 33 PATI berusia 20 hingga 50 tahun ditahan kerana tinggal lebih masa dan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.

"Dua lelaki warga tempatan ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26A, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya.

Ruslin berkata, pihaknya akan meneruskan tindakan tegas bagi mengekang aktiviti penyeludupan migran.

"Penguatkuasaan dilaksanakan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta ATIPSOM 2007," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!