JOHOR BAHRU - Dua individu maut dalam kemalangan membabitkan motosikal dan kereta di Kilometer (KM) 3.5, Jalan Skudai, Pantai Lido menghala pusat bandar pada awal pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa yang maut dalam kemalangan kira-kira jam 4 pagi itu terdiri daripada penunggang motosikal dan penumpang kereta jenis Perodua Myvi.
Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Yamaha dari arah Skudai menghala ke pusat bandar telah hilang kawalan dan terbabas sehingga menyebabkan kereta yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu terlanggar motosikal terbabit.
"Akibat daripada pelanggaran itu, kereta terbabit terbabas melanggar penghadang jalan, berpusing dan terbalik, manakala motosikal pula terbakar.
"Lelaki yang menunggang motosikal dan wanita yang merupakan penumpang kereta mengalami kecederaan di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan," katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, pemandu kereta yang cedera kini masih mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
"Ketiga-tiga mangsa kemalangan itu adalah warga tempatan yang berusia dalam lingkungan 40-an.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Dalam pada itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Shaifulnizam Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.04 pagi.
"Kejadian itu melibatkan sebuah kereta dan motosikal jenis Yamaha Fz yang terbakar 90 peratus," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!