Kedai rempah diserbu untuk persiapan Aidiladha

Iklan
Pelanggan datang seawal jam 8 pagi untuk membeli rempah-ratus di Pasar Siti Khadijah. (Gambar kecil: Nor Syuhada)

KOTA BHARU - Rempah-ratus antara bahan utama yang menjadi tumpuan pembelian orang ramai selain makanan basah sempena sambutan Hari Raya Aidiladha Isnin minggu depan.

Tinjauan Sinar Harian di Pasar Siti Khadijah di bandar ini mendapati orang ramai mula menyerbu kedai rempah ratus seawal jam 8 pagi.

Iklan
Iklan

Guru di sebuah sekolah di Alor Setar, Kedah, Nor Syuhada Zakaria, 38, membeli rempah-ratus untuk dijadikan cenderamata kepada rakan-rakannya di negeri itu sesuai dengan sambutan Hari Raya Aidiladha.

Menurutnya, rempah sedia bungkus yang popular di Terengganu itu turut dijual di beberapa kedai rempah ratus di Pasar Siti Khadijah.

Iklan

"Selain rempah campur yang memang enak dari Kelantan, saya tidak melepaskan peluang membeli rempah sedia bungkus ini apabila pulang bercuti di Kelantan kerana ramai rakan menggemarinya dan mudah untuk diagihkan," katanya.

Pelbagai rempah campur yang dijual di Pasar Siti Khadijah.

Ibu kepada tiga anak itu juga memberitahu, rempah-ratus sebagai cenderamata itu menjadi satu kelainan berbanding keropok atau serunding.

Iklan

Bagi pelanggan, Norazanwati Abdullah, 50, yang ditemui memberitahu, setiap tahun dia pasti akan memasak menu kegemaran keluarga bersama adik-beradik sebagai meraikan Hari Raya Aidiladha.

Menurut Norazanwati, bagi tahun ini dia mengubah hidangan dengan memasak kuah soto menggantikan sup sebagai lauk utama pada petang hari raya pertama.

"Walaupun tidak melaksanakan ibadah korban, kami tetap berkumpul dan memasak pelbagai hidangan dan lauk enak untuk meraikan hari yang penuh bermakna kepada umat Islam," katanya.

Sementara itu, Ruzana Mohd Zawawi, 45, membeli bawang dan rempah sup bagi menyediakan sup daging dan tulang pada hari raya pertama.

Ruzana yang melaksanakan ibadah korban tahun ini meraikan Hari Raya Aidiladha di rumah mertuanya di Kampung Kuala Besar di sini.

Rohani melayan pelanggan yang membeli ulam serta halia di gerainya di Pasar Siti Khadijah.

Sementara itu, peniaga, Rohani Mustafa, 60, berkata, selain rempah-ratus, halia, serai dan lengkuas turut menjadi tumpuan pembelian orang ramai sempena hari raya.

Tambahnya, semua bahan basah itu antara penyedap utama dalam menu singgang, gulai atau kari daging.

"Ulam-ulaman juga antara yang mendapat sambutan pada hari raya nanti kerana menjadi hidangan tambahan kepada menu utama," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!