12 syarikat pengangkutan di Terengganu tidak naikkan harga

Iklan
Saharuddin ketika sidang akhbar.

KUALA TERENGGANU - Tiada unsur kenaikan harga dikesan terhadap 12 syarikat pengangkutan di Terengganu menerusi hasil maklum balas diterima daripada Notis Pengesahan Maklumat Harga (NPMH).

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, notis yang dikeluarkan itu adalah susulan pelaksanaan Ops Kesan 2.0 yang dijalankan bermula 8 Jun lepas.

Iklan
Iklan

"Sebanyak 28 notis iaitu 12 NPMH dan 16 Notis Bertulis (NB) di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 telah dikeluarkan oleh KPDN Negeri Terengganu.

"Kesemua 28 notis tersebut dikeluarkan kepada 28 syarikat penerima Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) iaitu 12 notis di Kuala Terengganu, tiga notis di Hulu Terengganu, enam notis di Dungun, empat notis di Kemaman dan tiga notis di Besut," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan tinjauan Ops Kesan 2.0 di sebuah syarikat pemborong di sini pada Sabtu.

Saharuddin (kanan) ketika melakukan pemeriksaan di sebuah syarikat pemborong

Mengulas lanjut, Saharuddin menyatakan kesemua notis tersebut diserahkan kepada 28 buah syarikat di bawah sektor pengangkutan dan logistik yang mewajibkan pihak syarikat untuk memberi maklum balas selain maklumat perincian harga jualan serta kos perkhidmatan bagi tujuan siasatan lanjut.

Iklan

Katanya, pihak syarikat diberi tempoh masa selama empat hari bekerja untuk membekalkan kesemua maklumat tersebut.

"Hasil maklum balas yang diterima daripada 12 NPMH yang dikeluarkan mendapati tiada unsur kenaikan harga dikesan terhadap syarikat pengangkutan.

"Bagi 15 NB yang dikeluarkan masih dalam siasatan dan satu lagi NB telah dibuka kertas siasatan susulan sebuah syarikat yang gagal mengemukakan maklum balas terhadap notis yang dikeluarkan.

"Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 21(5) AKHAP 2011," ujarnya.

Justeru, Saharuddin berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama daripada pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran aduan khas di talian 012-6654292.

"Ini membolehkan orang ramai untuk mengemukakan sebarang maklumat dan aduan berkaitan pelaksanaan SKDS dan aduan caj, harga dan bekalan," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!