Bincang dengan Jakim sebelum jemput pendakwah selebriti - Fahmi

Iklan
Fahmi ditemui pemberita pada program perasmian Mydin Mart Pantai Dalam pada Sabtu.

KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi menyarankan semua stesen televisyen mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum menjemput pendakwah selebriti menyertai program penyiaran mereka.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, langkah itu bagi membolehkan Jakim meneliti latar belakang dan kelayakan seseorang pendakwah berkenaan sebelum dibenarkan bersiaran.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penyelarasan antara Jakim dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) berkaitan garis panduan juga perlu dilakukan bagi memudahkan stesen penyiaran membuat rujukan.

"Kementerian akan berhubung dengan Jakim dan Yadim, kita merasakan agensi ini perlu bantu meneliti asatizah yang dijemput dalam sesuatu program.

Iklan

"Walaupun kita beri ruang kepada semua tetapi apabila berkaitan agama, kita perlu ada penyelarasan garis panduan antara kedua-dua agensi ini," katanya ditemui pada program perasmian Mydin Mart Pantai Dalam pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung langkah RTM yang sekali lagi merehatkan pendakwah selebriti, Don Daniyal Don Biyajid daripada program Salam Baitullah.

Iklan

Berkenaan perkara itu, Fahmi berkata, pihaknya meminta ruang kepada Jakim untuk menjalankan siasatan.

"Kita serahkan kepada Jakim untuk meneliti isu ini kerana sebelum ini agensi berkenaan telah memberi teguran.

"Pandangan sebelum ini telah diterima dan diberikan nasihat namun akibat tindakan Don Daniyal baru-baru ini, wajar diberikan masa sebelum menjemput beliau semula," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!