KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menggesa kerajaan negeri memperkasakan pembangunan bakat renang bagi melahirkan atlet berpotensi tinggi sekali gus mengulangi kejayaan meraih pingat di peringkat antarabangsa.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, ia merangkumi peruntukan dana dari segi penyediaan jurulatih dan fasiliti untuk sukan berkenaan.
Menurutnya, setakat ini, terdapat beberapa negeri yang tidak mempunyai program membabitkan sukan renang dan terjun sehingga menyukarkan penyertaan ke Sukan Malaysia (Sukma).
"Ini menjadi satu masalah bila mereka nak libatkan diri ke peringkat Sukma... tiada jurulatih bermaksud tiada pelaburan untuk melahirkan atlet mewakili negeri.
"(Contohnya) kategori wanita, kalau tiada penglibatan enam negeri, acara itu akan gugur. Jadi bila gugur, bermakna tiada satu pemenang di peringkat nasional dan antarabangsa, tiada atlet mewakili sukan ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Akreditasi Renang dan Keselamatan Air 2024 di sini, pada Sabtu.
Dalam masa sama, beliau berhasrat agar sukan renang dan terjun yang pernah mencapai zaman kegemilangan suatu ketika dahulu dengan membawa balik banyak pingat, mampu dicapai semula.
Jelas Hannah Yeoh, Sabah dan Sarawak konsisten menyumbang dana untuk pembangunan bakat dan penyediaan jurulatih.
"Setakat ini, saya sudah lawat negeri Perlis dan Kedah, dan kita lihat memang ada ramai anak kecil yang minat belajar sukan renang dan terjun tetapi sekarang apa yang perlu kita wujudkan adalah kesinambungan kerjasama antara Majlis Sukan Negara (MSN) persekutuan dan negeri.
"Saya lihat ekosistem sini bagus, kelab di sini aktif dan difahamkan di Kedah ada 13 kelab yang membantu dalam program pembangunan bakat," katanya.
Dalam majlis itu, jelasnya, penglibatan ibu bapa bagi memeriahkan program akreditasi adalah satu petanda baik yang turut menyumbang kepada usaha MSN mencari pelapis muda negara dalam sukan berkenaan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!