SHAH ALAM - Kajian komprehensif yang dilaksanakan pasukan Kluster Reformasi Pendidikan dan Modal Insan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) menunjukkan sikap sambil lewa menjadi faktor utama sebahagian besar Bumiputera Melayu tidak maju dalam pendidikan.
Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, faktor lain seperti kemiskinan, tidak minat pada kurikulum sains dan matematik serta kurang sokongan keluarga telah mengukuhkan lagi sikap sambil lewa sebahagian besar golongan itu terhadap kepentingan pendidikan.
"Januari hingga Februari 2024, kami pasukan kluster KEB yang dipengerusikan Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali mula kurang tidur. Kata-kata beliau bahawa apabila tidur pun, kita mesti mimpikan KEB nampaknya berjaya menghantui kami.
"Secara berpasukan, kami turun ke lapangan menjalankan kajian komprehensif bagi menjawab persoalan, apa yang menghalang Bumiputera maju dalam pendidikan? Dua bulan berlalu dengan begitu pantas, hasilnya kami dapati sikap sambil lewa menjadi faktor utama.
"Mudah cakap, buat apa pun program, labur sebanyak mana pun duit untuk membangunkan pendidikan Bumiputera Melayu dan bantu sehebat mana pun, jika sikap sambil lewa terhadap kepentingan pendidikan masih menebal, dibimbangi semua usaha akan gagal,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Menurut Anuar, kajian itu telah menemu bual secara mendalam dan bersemuka bersama 600 peserta dalam kalangan orang Melayu di empat zon Semenanjung Malaysia dengan setiap satu sesi mengambil masa lima hingga enam jam.
Selain itu, beliau berkata, terdapat 8,000 responden menjawab soal selidik secara dalam talian serta bersama 250 orang yang dikategorikan kepada 15 kumpulan pakar atau peneraju mengikut bidang termasuk pemimpin industri bukan Melayu.
"Bagi sesi 'Focus Group Discussion' dalam talian bersama 24 orang Melayu yang telah berjaya dan sedang bekerja di luar negara, jawapan paling jelas ialah perlu mengubah sikap dan berusaha keras untuk berjaya untuk berjaya di bumi perantauan.
"Misalnya, ada anak Melayu dari Pasir Mas, Kelantan yang telah berjaya di Silicone Valley, Amerika Syarikat (AS), ada yang belajar dengan duit sendiri di AS dan akhirnya menjadi jurutera utama di kilang automotif terkenal.
"Ada anak Melayu yang berjaya dalam bidang perubatan di Jepun dan Australia dan ada yang berjaya menjadi ketua jurutera di Dubai,” ujarnya.
Tambah Anuar, Melayu perlu mengubah sikap sambil lewa dan bersungguh-sungguh untuk mencari kejayaan dalam pendidikan jika mahu maju serta tidak mengharapkan bantuan malah berusaha sendiri.
"Tentulah bukan semua Bumiputera Melayu begitu tetapi masih ramai yang seperti ini. Memang ada mereka yang berjaya dan cemerlang dalam pendidikan kerana dari awal telah berusaha untuk mengubah sikap tersebut,” katanya lagi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!