GUA MUSANG - Seorang kanak-kanak Orang Asli ditemukan lemas selepas dikhuatiri hilang dihanyutkan arus semasa mandi bersama ahli keluarga di Sungai Nenggiri, Kampung Setawar, Kuala Betis di sini pada Jumaat.
Syamely Nur Aleh Qarni Sham yang berusia tujuh tahun ditemukan lemas pada Sabtu sekitar jam 12.05 tengah hari oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan polis yang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Nik Fakri Mohd Nawi berkata berkata, mayat mangsa ditemukan pada jarak 1.8 kilometer dari tempat dia dikhuatiri lemas.
"Sejurus ditemukan mayat mangsa dibawa naik ke darat dan kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
"SAR dimulakan pada jam 8 pagi dengan menggunakan teknik mencari di permukaan air bersama unit PPDA dan unit anjing pengesan bomba (K 9) di kawasan pesisiran sungai," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, seramai 20 anggota termasuk pegawai dari bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah menyertai SAR.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli berusia tujuh tahun dikhuatiri lemas semasa mandi-manda bersama ahli keluarga di Sungai Nenggiri, Kampung Setawar, Kuala Betis di sini.
Kejadian sekitar jam 4 petang itu berlaku semasa mangsa, Syamely Nur Aleh Qarni Sham bersama dua lagi ahli keluarganya dipercayai lemas namun dua berjaya diselamatkan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!