RM4 bilion pengurusan Sungai Perak, bekalan air ke Pulau Pinang - PM

Iklan
Anwar. Foto fail Bernama

BAGAN SERAI - [DIKEMAS KINI] Sejumlah RM4 bilion akan dibelanjakan bagi projek pengurusan air di Sungai Perak yang sebahagiannya digunakan untuk pembekalan air ke Pulau Pinang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan secara dasarnya bersetuju meluluskan peruntukan itu yang akan dilaksanakan menerusi pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP).

Iklan
Iklan

Menurutnya, berdasarkan dapatan pusat data kecerdasan buatan (AI), KGIP yang dijana tenaga solar sebagai sumber tenaga hijau utamanya memerlukan keperluan air sangat besar.

"Keperluan ini dapat dipenuhi dengan pengurusan air serta beberapa program tempatan lain seperti menggunakan jalur dari Bukit Merah ke Kerian dan terus ke Seberang Perai (Pulau Pinang).

Iklan

"Dana yang diperlukan untuk air ini sahaja mencecah RM4 bilion, walaupun (peruntukan) bukan untuk tahun ini, tetapi secara dasarnya kerajaan bersetuju menyediakannya.

"Projek ini telah dijadikan keutamaan dan penting dilaksanakan segera demi menjaga kepentingan rakyat di utara Perak juga sebagai bekalan air kepada penduduk Pulau Pinang," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Peluncuran Pelan Induk KIGIP di Dewan Zainal Abidin Zain di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Anwar berkata, projek pengurusan air di Sungai Perak itu merupakan langkah jangka masa panjang diambil kerajaan bagi menyelesaikan isu air termasuklah bagi tujuan tanaman dan bekalan air terawat untuk minuman serta keperluan industri.

"Ini berita baik untuk Perak dan Pulau Pinang. Kalau tidak, isu ini tidak habis-habis dipolitikkan, saya pergi ke mana sahaja pun orang marah pasal air.

"Kalau selesai projek ini, maknanya untuk puluhan tahun akan datang keperluan air di Kerian, KIGIP dan Seberang Perai Selatan selesai.

"Untuk sebahagian Pulau Pinang yang jauh tu (dari Perak), kena runding dengan kerajaan Kedahlah," katanya.

Sementara itu dalam sidang media, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, projek pengurusan air berkenaan dilaksanakan secara berfasa melibatkan beberapa gerak kerja dan keperluan yang akan dimuktamadkan tahun depan.

"Apa yang telah dipersetujui untuk air ini, ianya akan diambil dari Sungai Perak, disalurkan ke Bukit Merah melalui terowong yang akan dibina. Apa juga proses terutama pembersihan akan dilaksanakan di sana.

"Bagi keperluan industri pula, apa yang kita laksanakan nanti dari segi rawatan air kumbahan yang mana dengan teknologi digunakan, hasilan kumbahan dapat dibersihkan dan air yang dikeluarkan nanti dapat digunakan balik oleh pihak industri," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!