SHAH ALAM - Individu yang terlibat dengan perdagangan mata wang kripto di negara ini adalah tertakluk kepada cukai pendapatan di Malaysia.
Sehubungan itu, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menggesa mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti perdagangan mata wang berkenaan tampil membuat pelaporan cukai di mana-mana pejabatnya.
Ujarnya, langkah segera itu perlu diambil sebelum tindakan pematuhan dikenakan kepada mereka yang terlibat.
"Menerusi operasi ini, didapati data-data perdagangan mata wang kripto yang disimpan dalam peranti mudah alih dan komputer telah berjaya diperoleh bagi mengenal pasti nilai aset digital yang didagangkan sehingga menyebabkan ketirisan hasil cukai yang amat signifikan.
"Data yang diterima akan dianalisa secara terperinci bagi mendapatkan nilai aset mata wang kripto yang diperdagangkan dan keuntungan yang dijana daripada kegiatan tersebut sekali gus mengenal pasti nilai ketirisan cukai sebenar yang tidak pernah dilaporkan kepada LHDN," kata kenyataan itu pada Sabtu.
LHDN dalam masa sama turut memaklumkan, hasil tindakan operasi yang dijalankan turut menemui kesalahan dilakukan entiti syarikat.
"Beberapa entiti syarikat dan perkongsian liabiliti terhad sengaja diwujudkan untuk menjadi pengantara kepada transaksi perdagangan mata wang kripto tersebut semata-mata bagi mengelakkan pelaporan cukai," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!