KUCHING - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kini dalam proses mengenal pasti orang yang layak dan sesuai, untuk menjadi penjaga mutlak adik kepada kanak-kanak autisme Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin.
Menteri Kebajikan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, buat masa kini, mahkamah telah memberikan perintah penjagaan sementara adik Zayn Rayyan selama dua bulan sehingga 9 Ogos depan kepada JKM.
"Pada masa yang sama, pihak JKM sudah bersedia untuk memberikan nama-nama orang yang mungkin layak dan sesuai, disyorkan sahaja tetapi itu akan diperhatikan juga.
"Difahamkan adiknya pun tidak dapat bercakap, jadi perlu pemerhatian serta penjagaan khusus dan ditempatkan di rumah perlindungan JKM, bukan kita hendak melabelkannya autisme namun karakternya ada,” katanya selepas merasmikan program Autism Empowerment Weekend 2024 anjuran Pusat Terapi Let’z Play di sini, hari ini.
Nancy berkata, pihak JKM perlu berhati-hati dalam mengenal pasti penjaga yang boleh menjaga anak yang mempunyai ciri-ciri autisme.
"Orang yang layak dan sesuai ini kelak akan diberikan tempoh sementara (percubaan) selama dua minggu untuk melihat chemistry antara mereka sebelum diberikan kelulusan secara mutlak, selain akan dipantau dari semasa ke semasa,” katanya.
Semalam, Pengarah JKM Selangor Azmir Kassim dilaporkan berkata adik kepada Allahyarham Zayn Rayyan itu kini berada dalam keadaan baik, di bawah jagaan sementara pihak JKM selepas mendapat perintah dari Mahkamah Majistret Shah Alam.
Beliau berkata, pengambilannya juga sudah dimaklumkan kepada ibu dan bapanya, Ismanira Abdul Manaf serta Zaim Ikhwan Zahari.
Zaim Ikhwan dan Ismanira mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal di sekitar Jalan PJU 10/1 Damansara Damai, di sini pada jam 12 tengah hari 5 Disember hingga jam 9.55 malam 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Zayn Rayyan dilaporkan hilang di kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai pada 5 Disember 2023 sebelum dia ditemukan mati dibunuh pada keesokan harinya. - Bernama