BAGAN SERAI - Kerajaan akui wujud kelemahan dalam pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dan sedia untuk memperbaikinya, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, langkah penambahbaikan akan dilakukan bagi memastikan rakyat tidak terkesan terutama mereka yang diberi kelayakan menerima subsidi tersebut.
"Apabila kita laksanakan penyasaran subsidi diesel, saya percaya tidak akan sempurna sepenuhnya, akan ada beberapa kelemahan, namun kita cuba (perbaiki).
"Jika ada kalangan mereka ini belum dapat bantuan, saya beri arahan untuk bantu sekarang," katanya ketika merasmikan Peluncuran Pelan Induk KIGIP di Dewan Zainal Abidin Zain di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Anwar berkata, pihaknya sedar bahawa penyasaraan subsidi bahan bakar tersebut telah mencetuskan polemik kalangan rakyat sehingga kerajaan dituduh sebagai zalim.
Katanya, jika tiada keberanian untuk melaksanakannya sekarang, tahun demi tahun kerajaan hanya melaksanakan dasar yang merugikan negara.
"Jadi janganlah kata tindakan itu zalim. Jika syarikat-syarikat besar sengaja ambil peluang terima bantuan kerajaan (subsidi) sedangkan untungnya besar, tidaklah munasabah untuk mereka juga dapat subsidi.
"Itu belum lagi tangkapan yang kita tengok antaranya di Sarawak, Kelantan dan Perak. Di mana-mana sahaja wujud penyelewengan, itu yang kita kena hentikan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!