KUALA KANGSAR - Lebih 3,000 peserta dijangka akan mengikuti program Arafah #QuranHour yang akan diadakan di 145 Rumah Ngaji seluruh Perak pada Ahad.
Pengerusi Rumah Ngaji Perak, Robaatul Hadayah Harun berkata, program yang bertemakan ‘Reset Takwa’ itu akan mengalunkan surah al-Jumu’ah dan al-Hajj bermula jam 11 pagi.
"Meskipun Perak tidak menetapkan lokasi utama program Arafah #QuranHour kali ini, alunan surah akan dibuat di setiap Rumah Ngaji secara kecil-kecilan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Jom Mengaji dan Cintai Ilmu anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kuala Kangsar di Dewan Tun Salleh Ismail, Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Penasihat Rumah Ngaji Perak, Datuk Normah Hanum Ibrahim.
Sementara itu, Normah Hanum ketika berucap mengajak peserta untuk membina lebih banyak Rumah Ngaji agar lebih ramai umat Islam berinteraksi dengan al-Quran menerusi baca, faham dan amal.
"Apabila buat Rumah Ngaji, tidak perlu berjalan jauh berikutan dekat dengan tempat tinggal dan peserta pum dalam kalangan mereka yang sudah pencen.
"Rumah Ngaji ini memudahkan kita membaca al-Quran selain perlu beristiqamah dalam melaksanakannya seperti mengaji berkumpulan, bertadabbur dan buat tindakan seperti bersedekah," katanya.
Menurut beliau, program Rumah Ngaji dapat mengeratkan silaturrahim sesama peserta.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!