Zii Jia selangkah bergelar juara Terbuka Australia

Iklan
Zii Jia menumpaskan pemain Taiwan untuk meraih slot final Terbuka Australia di Sydney pada Ahad. Foto Agensi

PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia berada di landasan terbaik untuk merangkul kejuaraan kedua pada tahun ini apabila meraih tiket final Terbuka Australia.

Kejayaan tersebut diraih selepas bekas juara Seluruh England itu menumpaskan Lee Chia Hao dari Taiwan dalam pertarungan tiga set di Quay Centre, Sydney sebentar tadi.

Iklan
Iklan

Zii Jia bangkit daripada ketinggalan untuk mengalahkan pemain meningkat naik itu 10-21, 21-15, 21-10 pada aksi separuh akhir kejohanan berstatus Super 500 itu.

Sebagai rekod, ini adalah kali ketiga Zii Jia mara ke final musim ini selepas mengungguli Terbuka Thailand dan naib juara Masters Malaysia bulan lalu.

Iklan

Zii Jia dijadual bertemu pemenang aksi antara pilihan kedua dari Jepun, Kodai Naraoka dengan pemain Taiwan, Lin Chun Yi bagi merebut gelaran juara pada Ahad.

Dalam pada itu, skrip berbeza dialami beregu lelaki negara, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian yang terpaksa akur perjuangan mereka tersekat dalam saingan separuh akhir.

Iklan

Mereka tewas kepada pilihan pertama kejohanan He Ji Ting-Ren Xiang Yu dari China 18-21, 9-21.

"Kami bermula dengan agak baik pada set pertama, namun pada permainan berikutnya ada sedikit tertekan.

"Lawan banyak memberi tekanan selain kami melawan angin. Ia membuatkan kami hilang banyak mata," ujar Haikal kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Biarpun terlepas aksi final, berada dalam kelompok empat terbaik kejohanan menjadi pencapaian terbaik dalam kerjaya mereka sejak digandingkan pada Ogos tahun lalu.

Sementara itu, nasib sama turut dialami beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang tumpas kepada pilihan pertama dari China, Jiang Zheng Bang-Wei Ya Xin 11-21, 11-21 sekali gus menoktahkan pengembaraan mereka di Australia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!