GEORGE TOWN - Sebanyak 252 ekor lembu akan diedarkan ke 212 masjid dan 25 surau di Pulau Pinang di bawah Program Ibadah Korban Perdana Pulau Pinang bagi tahun ini.
Program tersebut dijayakan oleh Yayasan Amal Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang (Yayasan Amal TYT Pulau Pinang).
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Amal TYT Pulau Pinang, Datuk Seri Rozali Mohamud berkata, jumlah korban tersebut menunjukkan peningkatan 2.52 kali ganda berbanding tahun lalu iaitu hanya 100 ekor.
Menurutnya, objektif utama Program Korban Perdana 2024 adalah untuk mengukuhkan ikatan silaturahim di antara Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dengan pihak yang menyumbang atau yang membuat korban dan penerima daging korban yang terdiri daripada golongan B40.
"Program Ibadah Korban Perdana pada tahun ini mendapat sambutan memberangsangkan. Semua masjid yang mempunyai kariah di negeri ini mendapat sekurang-kurangnya seekor lembu untuk dijadikan korban melainkan masjid yang tidak mempunyai halaman untuk melaksanakan ibadah korban.
"Berlaku peningkatan 2.52 kali ganda dalam jumlah korban yang mana, secara tidak langsung, ia mencerminkan keyakinan penyumbang kepada pengurusan ibadah korban oleh Yayasan Amal TYT Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Rozali menambah, penghantaran lembu korban ke masjid-masjid dan surau yang terpilih akan dibuat pada Ahad.
"Korban akan dilaksanakan oleh pengerusi kariah bersama pasukan mereka pada Hari Raya Aidiladha yang pertama, manakala sebahagian kecil daripada masjid-masjid yang mengambil bahagian akan melaksanakannya pada Hari Tasyrik.
"Tun Ahmad Fuzi bersama isteri akan menyaksikan pelaksanaan ibadah korban di Masjid Negeri Pulau Pinang selepas solat sunat Aidiladha dan akan mengedarkan daging korban kepada asnaf sebagai simbolik pelaksanaan ibadah korban di seluruh Pulau Pinang," katanya.
Beliau menambah, pihaknya menjangkakan seramai 13,500 golongan B40 akan mendapat sekurang-kurangnya 2 kilogram daging mentah.
"Kami berharap pada tahun akan datang, lebih ramai pihak yang akan melakukan ibadah korban dengan bekerjasama dengan Yayasan Amal TYT Pulau Pinang.
"Terima kasih kepada penyumbang-penyumbang, pengerusi kariah dan pasukan mereka, pasukan sekretariat dan seluruh rakyat Pulau Pinang," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!