Bihun, telur goreng tercemar: 11 mangsa terima rawatan keracunan salmonella

Iklan
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr DZulkefly Ahmad ketika berucap pada Majlis Perasmian Pek Kasih Mama dengan kerjasama Shopee Malaysia di Dewan Perbandaran Kuala Selangor Puncak Alam pada Sabtu. Foto Bernama

KUALA SELANGOR - Seramai 11 mangsa masih menerima rawatan bagi jangkitan bakteria salmonella susulan kes keracunan makanan di Gombak Sabtu lepas.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata bagaimanapun, kesemua mangsa stabil dan tidak menunjukkan simptom yang serius.

Iklan
Iklan

"Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) telah membuat ujian dan dari situlah kami mendapati ia adalah keracunan salmonella dan dalam kes ini, unik kerana ia agak akut lebih awal.

"Selalunya ia akan mengambil masa enam hingga lapan jam (untuk menunjukkan simptom) tetapi dalam kes ini, yang meninggal itu dalam dua jam maknanya ia mungkin keracunan salmonella dengan ketoksikan yang tinggi," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Pek Kasih Mama di sini hari ini.

Iklan

Pada 11 Jun lepas, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Dr Ummi Kalthom Shamsudin berkata 82 daripada 247 orang mengalami gejala keracunan makanan selepas mengambil sarapan pada Program Kemahiran Amal Islami (Kamil) disyaki berpunca daripada bihun goreng dan telur mata yang didakwa sudah berubah rupa serta rasa.

Dzulkefly turut menggesa penyedia platform e-dagang mematuhi syarat yang ditetapkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara, Pihak Berkuasa Peranti Perubatan dan agensi berkaitan dalam memasarkan barangan perubatan, kesihatan atau produk kecantikan kepada pengguna.

Iklan

Beliau berkata, KKM tidak berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang ingkar memasarkan produk menyalahi undang-undang serta tidak mematuhi peraturan yang berpotensi membawa risiko kesihatan dan keselamatan kepada pengguna.

"Susulan insiden keracunan makanan minggu lepas, saya ingin berpesan agar kita terus berhati-hati dalam aspek pemakanan. Walaupun kebanyakan produk dalam talian seperti di Shopee adalah produk tahan lama, kita tetap perlu amalkan pemeriksaan rapi seperti lihat, hidu dan rasa," katanya.

Program hari ini menyaksikan seramai 300 ibu menerima Pek Kasih Mama mengandungi barangan keperluan penting seperti lampin, produk mandian, tuala, keperluan penyusuan dan produk penjagaan kulit selamat untuk ibu.

Program itu, yang merupakan kerjasama strategik antara Shopee dan KKM, bakal menyaksikan sejumlah 700 pek lagi diedarkan di seluruh negara. - Bernama

TAG: salmonella, keracunan makanan, KKM, dzulkefly ahmad, pek kasih mama