Sanusi diminta kerjasama dengan Persekutuan selesai isu air di Kedah

Iklan
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyampaikan ucapan perasmian pada Program Jiwa Komuniti MADANI peringkat Parlimen Kulim Bandar Baharu di sini pada Sabtu. Foto Bernama

BANDAR BAHARU - Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diminta bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan masalah bekalan air di Kedah terlebih dahulu sebelum berhasrat membantu Pulau Pinang dalam isu tersebut.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, masalah air di Kedah perlu menjadi keutamaan kepada kerajaan Kedah, manakala isu sama di Pulau Pinang perlu diserahkan kepada pemimpin negeri berkenaan untuk menyelesaikannya.

Iklan
Iklan

"Jadi saya ingat begini untuk MB (Menteri Besar Kedah), (isu bekalan) air di Sungai Bakap itu biar Pulau Pinang urus, kita jaga Kedah kita dulu. Saya akan bekerjasama dengan MB, bantu MB. MB pun kena bantu kita.

"Mai (Mari) kita selesai masalah ayaq (air) Kedah dulu. Saya ingat yang itu lebih bagus. Yang sana (di Sungai Bakap) itu biar Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow buat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Jiwa Komuniti Madani Peringkat Parlimen Kulim/Bandar Baharu, di sini, hari ini.

Iklan

Sebelum ini, Muhammad Sanusi dalam ceramah sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap menawarkan kepada Pulau Pinang membeli lebihan air dari Kedah selepas Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar disiapkan.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah berkata, terdapat beberapa kawasan di Kedah termasuk Merbok, Sungai Petani dan Bandar Baharu turut menghadapi masalah air disebabkan tekanan rendah dan bekalan sering terputus.

Iklan

Menurutnya, sebanyak lima projek membina dan menaik taraf LRA di Kedah sedang dilaksanakan bagi mengatasi masalah itu termasuk LRA Lubuk Buntar yang membabitkan peruntukan RM60 juta.

"LRA Lubuk Buntar itu dah lewat, jadi kita nak selesaikan. Projek itu bernilai RM60 juta, bila siap nanti akan membekalkan 32 juta liter air sehari untuk Kedah,” katanya. - Bernama