Itali tidak pandang Albania sebelah mata

Iklan
Donnarumma

PENYANDANG juara, Itali seharusnya tidak memandang rendah keupayaan Albania apabila kedua-dua pasukan berentap dalam aksi Kumpulan B Euro Jerman 2024 di Signal Iduna Park, Dortmund pada Ahad.

Malah kapten Itali juga penjaga gol, Gianluigi Donnarumma percaya hampir separuh anggota skuad Albania yang bermain dalam Serie A telah bersedia untuk pertemuan tersebut.

Iklan
Iklan

"Perlawanan pertama sentiasa penting kerana kemudian kami akan mengharungi dua perlawanan yang amat sukar.

"Kemenangan ke atas Albania juga penting memberi kami sedikit ketenangan fikiran kepada setiap pemain Itali,” katanya.

Iklan

Selain Albania, Itali akan berdepan Sepanyol dan Croatia dalam Kumpulan B yang berstatus Kumpulan Maut di Euro 2024 Jerman, memberi tekanan kepada Azzurri untuk mendapatkan tiga mata di Dortmund.

Sementara itu, tonggak tengah Nicolo Barella berkemungkinan akan ditampilkan dalam kesebelasan utama pada aksi pembukaan tersebut.

Iklan

Perkembangan itu dikongsikan pengendali Itali, Luciano Spalletti selepas bintang kelab Serie A Inter Milan tersebut pulih daripada kecederaan ringan.

Mengulas lanjut mengenai kecergasan Barella berikutan masalah otot, Spalletti berkata pemain berusia 27 tahun yang memulakan karier senior bersama Cagliari, telah melalui sesi latihan tanpa sebarang masalah.

"Semalam dia telah melakukan segala-galanya. Kita akan lihat apa yang berlaku dan lihat bagaimana perasaannya.

"Tetapi setakat petang semalam, segala-galanya menunjukkan bahawa dia akan bersedia untuk dipilih menyarung jersi kesebelasan utama pasukan,” katanya sambil menambah bahawa pasukan perubatan sentiasa berhati-hati berkaitan kecederaan Barella itu.

Sebagai rekod, Barella merupakan antara komponen penting ketika pasukan berprofil tinggi itu memenangi Euro 2020 di Wembley sebelum ini.

Namun, beliau terlepas dua perlawanan persahabatan terakhir Itali sebelum kejuaraan tahun ini berikutan ketegangan otot.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!