[DIKEMAS KINI] PENYANDANG juara Johor Darul Ta'zim (JDT) menyingkap kempen mempertahankan kejuaraan dengan laungan awal apabila membelasah Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 4-0 dalam perlawanan pusingan 16 Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu.
Tirai jaringan pertama dibuka skuad Harimau Selatan itu pada minit ke-44 hasil tandukan Murillo Henrique kepada Bergson Da Silva sebelum disambut Fernando Forestieri.
Forestieri menerpa sebelum menanduknya dan terus membolosi gawang lawan sekali gus memecah kebuntuan jaringan sulung dalam perlawanan separuh pertama tersebut.
Harimau Selatan 'mengaum' sekali lagi apabila kira-kira 18 minit kemudian berjaya menjaringkan gol kedua menerusi sepakan Romel Morales pada minit ke-61.
Kejayaan itu terhasil selepas JDT gagal menyempurnakan sepakan penalti oleh Juan Muniz apabila penjaga gol pasukan lawan Mohd Muhaimin berjaya menepis bola tersebut.
Kesempatan tersebut diambil Morales untuk mencetak gol kedua dalam situasi yang agak kelam kabut depan pintu gol KDNFC.
Menghampiri masa akhir perlawanan, pasukan tuan rumah sekali lagi membuat kejutan pada minit ke-81 apabila Francisco Geraldes menjaringkan gol ketiga.
Rembatan Francisco itu terkena tiang gol sebelum menerobos masuk gawang lawan selepas JDT sebelum itu melakukan asakan berterusan.
JDT menutup tirai perlawanan menerusi gol keempatnya dengan sepakan penalti Arif Aiman Mohd Hanapi dalam masa tambahan pada minit ke-94.
Kemenangan itu membolehkan anak buah Hector Bidoglio berdepan pasukan Liga A1 Semi-Pro, Malaysian University Football Team (MUFT) kendalian Ridzuan Abu Shah di pentas suku akhir timbal balik.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!