SHAH ALAM - Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mencadangkan pendatang asing yang berada di negeri itu dihantar ke negara ketiga jika negara asal tidak menerima mereka lagi.
Beliau berkata, isu pendatang asing mendapat perhatian utama rakyat Sabah kerana isu berkenaan sudah berlarutan sejak puluhan tahun dan rakyat negeri itu mahukan penyelesaian secara komprehensif oleh kerajaan.
Menurutnya, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang diterajuinya juga akan menghantar satu cadangan kepada kerajaan bagi memastikan pendatang asing tidak lagi boleh menceroboh sempadan negara.
"UPKO sentiasa konsisten bahawa kami mahu menghalau semua pendatang asing di Sabah. Masalah berterusan yang dihadapi Sabah adalah pendatang asing yang memiliki kad pengenalan.
"Ada antara mereka sudah pun berdaftar dengan sistem malah ada yang boleh mengundi dalam beberapa pilihan raya seperti yang didedahkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada tahun 2013,” katanya seperti yang dilapor Sabah News Today semalam.
Kata Wilfred lagi, hasrat kerajaan untuk memperkenalkan Pas Sementara Sabah (PPS) adalah mulia namun sentimen rakyat Sabah menentangnya.
"Hari ini kita hidup dengan akibat daripada tindakan dan keputusan yang dibuat oleh para pemimpin terutamanya tokoh-tokoh yang tidak bertanggungjawab pada masa lalu.
"Sekarang kita melihat dan mendengar sentimen yang semakin meningkat dalam menentang cadangan kerajaan memperkenalkan PSS," katanya.
Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis pada 18 Januari lalu, pembangkang yang diketuai oleh Barisan Nasional (BN) menggunakan isu PSS sebagai modal utama kempen mereka.
Pada PRK itu, Warisan bukan sahaja gagal merampas kerusi Parlimen berkenaan daripada BN, malah BN menerusi calonnya, Datuk Mohamad Alamin, 48, menang dengan majoriti besar iaitu 2,029 undi menewaskan calon Warisan, Datuk Karim Bujang, 67.