PUTRAJAYA - Suami mengambil alih tugas menguruskan rumah tangga manakala isteri pula bekerja, tidak digalakkan sama sekali sekiranya wanita itu tidak reda.
Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Jamali Mohd Adnan menjelaskan, seandainya dengan keredaan, maka ia dibenarkan sepertimana diharuskan untuk suami memakan mahar isteri.
Bagaimanapun beliau menegaskan, lelaki tetap wajib berusaha sebaik mungkin untuk menafkahi isteri dan keluarganya tanpa mengharapkan pendapatan pasangan.
"Sekurang-kurangnya suami perlu menyediakan atau menyumbang tempat tinggal yang selamat dengan peralatan-peralatan asas. Ia termasuklah tempat tidur, memasak, makanan dan minuman, pakaian sesuai yang menutup aurat selain alat serta bahan kebersihan untuk isteri dan anak-anaknya.
Sementara itu katanya, bagi suami yang diuji menjaga isteri dan anak yang sakit, mereka dinasihatkan agar menghadapinya dengan penuh kesabaran dan ketaatan kepada ALLAH SWT serta tidak mudah melenting.
Menurutnya, segala musibah yang berlaku adalah untuk meningkatkan darjat dan kedudukan seorang insan menjadi lebih baik.
Bahkan katanya, ALLAH SWT menjanjikan ganjaran pahala tidak terkira buat mereka yang bersabar.
Sementara itu, Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Masyarakat Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, situasi tersebut menjadi haram dan berdosa apabila suami itu malas bekerja dan lebih parah menghabiskan duit isteri sesuka hati.
Katanya, dalam rumahtangga perbincangan antara pasangan sangat penting sebelum melakukan sebarang keputusan.
"Pertama, segala perkara yang melibatkan rumahtangga Islam menyuruh kita untuk bermesyuarat, berbincang dan segala keputusan perlu dihormati kerana perkara- perkara seperti ini yang tahu baik buruknya adalah pasangan tersebut.
"Jadi, tiada salah seorang suami jadi suri rumah apabila pasangan itu melihat bahawa lebih baik suami berada di rumah daripada bekerja kerana mungkin gaji isteri lebih tinggi berbanding isteri.
"Suami pula mempunyai kepakaran dalam menjaga anak dan sebagainya. Tidak salah cuma asas Islam minta suami bekerja dan mencari rezeki," jelasnya.
Tambah beliau, perkara yang paling penting adalah perlu ada rasa hormat antara pasangan dan melakukan perbincangan.
SKIM SKSSR UNTUK LELAKI DILAKSANA 2025
Sementara itu di PUTRAJAYA, Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk golongan lelaki yang bergelar suri rumah dijangka akan dilaksanakan pada tahun depan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia (Kesuma), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, buat masa ini PERKESO sedang mengkaji secara menyeluruh polisi SKSSR termasuk pelindungan daripada 55 tahun ke 60 tahun.
"Kedua-dua penambahbaikan ini melibatkan pindaan Akta 838 yang mana pelaksanaannya dijangka pada tahun 2025 tertakluk kepada kelulusan di peringkat Kabinet,” katanya.
Kerajaan sebelum ini dilapor akan mengkaji cadangan untuk memperluaskan SKSSR untuk golongan lelaki.
Bagaimanapun, Menteri Sumber Manusia pada ketika itu, Datuk Seri M Saravanan berkata, pihaknya terlebih dahulu perlu mengenal pasti jumlah lelaki yang menjadi suri rumah.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!