Tubuh persatuan pengkritik sastera

Iklan
Gambar kecil dari kiri: Hamzah Hamdani, Yahya Ismail, dan Saleeh Rahamad

APABILA dirasakan kritikan sastera semakin lesu, usaha untuk memantapkannya harus dilakukan.

Salah satu yang terfikir di benak saya ialah menubuhkan persatuan pengkritik sastera Malaysia.

Iklan
Iklan

Patutkah sebuah kelab atau persatuan kritikan ditubuhkan?

Persoalan ini agak aneh bunyinya, tetapi bukannya sesuatu yang mustahil dilakukan.

Iklan

Aneh, kerana kita sudah mempunyai begitu banyak persatuan penulis dan sudah pasti kegiatan kritikan adalah sebahagian daripada tugas yang harus dijalankan oleh persatuan-persatuan tersebut.

Malah persatuan seperti Pena sudah menjalankan beberapa kegiatan seperti mengadakan majlis kritik buku.

Iklan

Begitu juga pelbagai siri yang dijalankan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, semuanya dapat kita kategorikan sebagai kegiatan kritikan.

Begitu juga beberapa universiti yang mempunyai pengajian kesusasteraan seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengadakan satu demi satu simposium atau seminar kesusasteraan.

Sekitar 1990-an sudah ditubuhkan persatuan pengkritik ini dengan usaha inisiatif saudara Hamzah Hamdani, seorang yang sangat iltizam dan peneliti sastera yang rajin.

Tentulah ada kewajaran sehingga sanggup mencadangkan penubuhan kelab kritik sastera itu.

Tentulah ada fenomena atau gejala kronik yang melanda dunia kritikan sastera Melayu sehingga perlunya sebuah persatuan yang khusus untuknya ditubuhkan.

Malah, nampaknya ada suara yang hampir-hampir mendesak supaya kelab kritikan ini ditubuhkan dengan segera.

Seolah-olah telah terbaca bahawa dengan tertubuhnya persatuan atau kelab itu nanti, masalah kelesuan kritikan kita akan dapat diatasi sekurang-kurangnya mengurangkan ketandusannya.

Cadangan ini disambut dengan meriah dalam kalangan penulis-penulis muda yang karya mereka dikatakan tidak mendapat sentuhan kritikan. Banyak karya yang telah dihasilkan, tetapi tidak ada pengkritik yang cuba memperkatakannya.

Barangkali elok juga kita bertanya sebaliknya, apakah benar dengan adanya kelab kritikan itu nanti, masalah kelesuan ini dapat diatasi?

Atau mungkin kelesuan itu semakin bermaharajalela. Tidak mustahil pula akan melahirkan penyakit baharu dalam dunia kritikan kita.

Dunia kritikan kita bukannya masalah persatuan, tetapi masalah pokok yang lain.

Mungkin akan ada yang membangkitkan, dunia kritikan kita yang begitu cemerlang dalam beberapa dekad dahulu, para kritikawan kita tidak pernah mempunyai persatuan pun.

Kassim Ahmad, Yahaya Ismail, Dali, Mohd Noor Azam, Kala Dewata, Hashim Awang, RamliIsin, S Othman Kelantan, Nik Mohammad Zain dan ramai lagi bergerak secara sendirian.

Yahaya Ismail begitu gigih dan prolifik sehingga kritikannya ditakuti dan hampir-hampir membina institusi kritikannya sendiri.

Mereka semuanya mengaplikasikan teori masing-masing.

Kassim Ahmad dengan teori realismesosialis, Yahaya Ismail dengan formalistik dan RamliIsin dengan teori legislatif.

Dunia kritikan adalah pentas bergerak secara sendiri-sendiri kerana masing-masing mempunyai teori dan kaedah tersendiri sewaktu berhadapan sesebuah teks.

TEORI

Pengkritik pun sebenarnya bukanlah manusia yang dicintai oleh pengarang.

Untuk melahirkan seorang pengkritik, sememangnya diakui lebih sukar daripada melahirkan seorang penulis kreatif.

Pengarang bersumberkan bakat dan keterampilan mencernakan idea dan pengalaman untuk mengunggulkan karyanya. Dengan lain perkataan, pengarang dengan takdir alamiahnya sebagai sumber pengkaryaan.

Tetapi untuk menjadi seorang pengkritik seseorang itu terpaksa menguasai teori dan metodologi kritikan.

Sama ada teori sastera, teori kritikan sastera dan teori penulisan sastera harus dikuasai dengan cukup mahir.

Tidak sahaja terikat kepada mana-mana satu teori yang akan diaplikasikannya, malah harus menguasai teori sebanyak mungkin.

Dilema yang dihadapi oleh dunia kritikan kita sebenarnya ialah mendapatkan kritikan praktikal atau kritikan praktis.

Inilah yang amat terasa kegersangannya. Untuk menyatakan pengkritik kita lari ke ulasan-ulasan buku-buku teks sastera, bukanlah kenyataan yang bijak.

Justeru pelajar kita di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) juga memerlukan khidmat para kritikawan kita itu.

Tetapi terlalu menumpukan hanya kepada ulasan buku teks sastera sekolah pun tidak adil juga. Akibatnya dikatakan begitu banyak teks sastera yang terbiar tanpa mendapat sentuhan kritikan praktikal.

Dengan itu kita melihat masalah kritikan kita sudah berbeza dengan zaman-zaman silam, lalu kita inginkan suatu perubahan.

Maka dengan itu saya berpandangan bahawa kelab atau persatuan kritikan adalah wajar ditubuhkan.

Dengan adanya sebuah persatuan kritikan langkah-langkah untuk mendinamikkan kritikan boleh diatur dengan sistematis.

Walaupun sebuah kelab seperti itu pernah ditubuhkan suatu masa dahulu, tetapi ia bernaung di bawah sebuah badan penulis iaitu Kelab Kritik Pena.

Baik sekali, sekiranya persatuan atau kelab kritikan yang hendak ditubuhkan itu bebas daripada mana-mana naungan dan bergerak sebagai sebuah persatuan yang berperlembagaan, tentu sahaja kehadirannya bukanlah sebagai tantangan kepada persatuan-persatuan yang sedia ada, tetapi sebagai pelengkap dan pengisi kekosongan: masing-masing bergerak di landasan sendiri-sendiri.

Lagipun, pengkritik pun mempunyai masalah dan kepentingan yang berbeza dengan penulis.

Kita ramai mempunyai tokoh pengkritik antaranya ialah Saifullizan Yahaya, Saleeh Rahamad, Mohamad Shahidan, Nur Muhamad Fansuri dan Mohd Shahrun Nizal Mohd Nor, di samping tokoh-tokoh Mohd Mokhtar Hassan, A Rahim Abdullah dan Sohaimi A Aziz, A Halim Ali dan lain-lainnya. Kesemuanya boleh bersatu di bawah satu naungan persatuan.

Sesungguhnya dengan tertubuhnya persatuan kritikan itu nanti, merupakan satu lagi detik penting dalam perkembangan kesusasteraan moden kita. Hal ini lebih-lebih lagi dirasakan kita sedang berada di suatu era yang penting iaitu di tengah kehadiran pelbagai teori kritikan sastera baharu..

Soalnya sekarang, sekiranya semuanya telah bersetuju bahawa perlu sebuah persatuan atau kelab kritikan ditubuhkan, siapakah yang akan menjadi penggerak utama penubuhannya? Siapakah yang harus mengambil inisiatif untuk memulakannya?

Saya kira mereka ialah Saifullizan Yahaya, Saleeh Rahamad, Mohamad Shahidan, Nur Muhamad Fansuri dan Mohd Shahrun Nizal Mohd Nor. Bagaimanapun saya berpandangan harus ada perbincangan awal dilakukan, sehingga kelab kritikan tersebut menjadi kenyataan.

Rasanya semakin cepat ditubuhkan semakin baik. Ini bererti semakin cepat pula kita dapat mengubati penyakit kritikan, insya-ALLAH.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!