SWITZERLAND menyingkap kempen Kumpulan A Euro Jerman 2024 dengan langkah kanan selepas menewaskan Hungary, 3-1 di Rhein Energie Stadion pada Sabtu.
Kemenangan itu membolehkan anak buah Murat Yakin melakar kemenangan keempat dalam 19 penampilan pusingan akhir Euro (lapan seri, tujuh tewas).
Ini juga tiga mata kali kedua Rossocrociati dalam perlawanan pembukaan kejuaraan Euro selepas kemenangan 1-0 menentang Albania pada 2016.
Gol Switzerland dalam perlawanan itu dijelmakan Kwadwo Duah (m-12), Michel Aebischer (m-45) sebelum pemain gantian Breel Embolo (m-93) menoktahkan pesta gol.
Sementara itu, gol Magyars dijanakan oleh Barnabas Varga pada minit ke-66 ketika anak buah Marco Rossi gagal bangkit persembahan lesu separuh masa pertama.
"Saya menyamakan bola sepak dengan catur, dan hari ini kami mendapat taktik kami dengan betul. Kami menggunakan formasi ini atas sebab tertentu.
"Kami memberi tumpuan menggunakan kekuatan pasukan sepenuhnya dan kami membuat pasukan lawan sangat sukar pada separuh masa pertama," kata Yakin.
Mengenai Duah, Yakin berkata:"(Duah) adalah pemain dalam kotak penalti dan kami pernah menghadapi situasi itu dengan Breel (Embolo), tetapi kami tahu kami boleh bergantung kepadanya.
"Kami membuat keputusan yang tepat untuk membawa (Embolo). Kami tahu dia tidak tersedia untuk dua minggu latihan terakhir tetapi keputusan untuk memanggilnya adalah tepat.
"Malah dia membuatkan kami sangat tenang dalam penguasaan bola."
Kemenangan Switzerland itu membolehkan anak buah Yakin mengekori rapat Jerman yang memimpin kumpulan selepas menang besar 5-1 ke atas Scotland awal pagi tadi.
Switzerland akan berdepan Scotland dalam perlawanan kedua di RheinEnergieStadion manakala Hungary berdepan Jerman di MHPArena pada 20 Jun.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!